|
Di sebalik personalitinya yang gila-gila, ramai yang tidak mengetahui kisah hidup Upiak Isil.
Penyanyi yang meletup dengan lagu Tak Tun Tuang ini sebenarnya berduka dengan episod kegagalan rumah tangganya.
Walaupun lagu tersebut menyebabkan namanya melonjak naik, namun disebabkannya jugalah Upiak diceraikan oleh suami.
Foto: Astro Gempak
“Saya berkahwin pada tahun 2013 dan bercerai dua tahun selepas itu. Keluarga bekas suami kurang menggemari saya.
“Selepas saya menghasilkan lagu Tak Tun Tuang, keadaan menjadi semakin tegang. Keluarga bekas suami menuduh saya gila dan kurang siuman kerana muncul dengan lagu dan konsep ‘gila-gila’ seperti itu.
“Akhirnya, bekas suami menceraikan saya dan tidak lama selepas itu, saya mendengar berita dia berkahwin dengah orang lain,” katanya kepada Astro Gempak.
Foto: mStar Online
Pemilik nama sebenar Silvia Nanda, 32, yang berasal dari Padang, Indonesia ini bagaimanapun bersyukur kerana segala kesusahan yang dialami mempunyai hikmah tersendiri.
“Saya menangis selama tiga hari mengenangkan nasib ditinggalkan suami. Ketika itu, saya berdoa kepada Allah agar tunjukkan keajaiban kepada saya.
“Siapa sangka, lagu Tak Tun Tuang yang orang anggap sebagai lagu kurang siuman menjadi viral. Biarpun hampir tiga tahun berlalu, secara tidak sengaja, lagu ini meraih populariti di Malaysia, Thailand dan beberapa negara lagi.
“Saya anggap ini sebagai rezeki dan saya mahu berusaha dengan lebih kuat untuk mengukuhkan nama saya,” tambahnya.
Bertabahlah Upiak. Semoga semakin sukses dalam kerjaya dan hasilkan banyak lagi lagu-lagu yang meletup pada akan datang. -CARI |
|