|
Kalau dah suka sangat dengan K-Drama, tak sah kalau tak berangan nak pergi ke lokasi tu semua. Mesti fefeeling macam berada di alam fantasi. Bagus juga kalau lokasi drama atau filem di negara kita pun jadi tumpuan seperti itu, kan?
Jom taburkan angan-angan dan percikkan sedikit perasaan angau dengan gambar berikut! Bukan peminat tegar drama Korea pun akan terpesona dengan lokasi menarik ni.
Moonlight Drawn By Clouds
Episod terakhir drama ini dirakamkan di Gudeurae Sculpture Park. Terletak di barat Gunung Busosan di sepanjang Sungai Baekma, taman ini memiliki 59 ukiran berseni hasil kerja tangan pengukir yang diwarisi sejak zaman Dinasti Baekje. Landskap indah menjadikan ia tarikan pelancong sejak 1985. Sampai sekarang, taman ini memang dijaga rapi. Berebut-rebut orang nak pergi.
Foto: flyhoneystars
Pengunjung berpeluang melihat bunga Cosmos yang berwarna merah jambu memekar pada bulan Oktober. Begitu nyaman rasanya ketika c uaca lewat musim luruh dengan angin dingin sesekali bertiup .
Ada banyak restoran menyajikan makanan tempatan dengan pelbagai cita rasa, tetapi harus bijak mencari yang Halal, okey. Nak bawa bekal? Boleh saja! Bentanglah tikar atau duduk di bangku sambil menikmati pemandangan.
Alamat: 60, Naruteo-ro, Buyeo-gun, Chungcheongnam-do
Coffee Prince
Asalnya, ia adalah sebuah kedai kopi berdekatan Universiti Hongik. Ia telah diubahsuai mengikut kehendak drama. Namanya sekarang? Tentulah The 1st Shop of Coffee Prince! Drama yang popular di seluruh Asia ini masih mengekalkan susun atur seperti di dalam drama. Macam tak percaya kalau tiba-tiba Gong Yoo muncul. Oh, tidak. Pasti cair!
Foto: SeoulStorys
Foto: steemit.com/korea
Selain kopi, teh dan makanan lain, cenderahati drama pun ada dijual! Landskap taman di luar juga menarik dan ada banyak lokasi untuk berswafoto. Yang best, suasana musim bunga memang lain dengan suasana musim dingin.
Hei, ia berada di atas bukit dan keindahan pemandangannya memang tak terungkap dek kata-kata! Rasa macam tak nak balik.
Alamat: Sanmotoonge Cafe: 97-5 Buam-dong, Jongno-gu, Seoul, South Korea
Winter Sonata
Semua peminat KDrama takkan melupakan Pulau Nami di mana ia menjadi lokasi drama Winter Sonata yang menjadi fenomena suatu ketika dahulu hingga membuat semua terpaku di hadapan televisyen.
Boleh dikatakan, drama inilah yang mula membuka mata kita kepada segalanya tentang Korea sebelum K-Pop 'menyerang' seluruh dunia dan 'masuk' ke rumah semua orang. Sebut Pulau Nami, ingat Winter Sonata. Gitu kau.
Foto: trazy
Pulau berbentuk separuh bulan ini begitu kehijauan pada musim panas, merimbun merah dan keemasan pada musim luruh, bersemarak dengan bunga di kala musim bunga, dan diselimuti salji memutih pada musim dingin. Pokok redwood di kiri dan kanan laluan pejalan kaki menjadi salah satu tempat ikonik Pulau Nami. Kalau tak rakam kenangan di sini, menggigit jari sajalah di kemudian hari.
Alamat: 1, Namisum-gil, Namsan-myeon, Chuncheon-si, Gangwon-do
Descendants of the Sun
Oh! Drama yang buat ramai tak senang duduk. Menarik, penuh tragedi, suspens, air mata dan semestinya pemandangan yang indah. Apatah lagi kini Song Joong-ki (hero) dan Song Hye Kyo (heroin) sudah berkahwin.
Pulau Wolmido menjadi tumpuan penduduk Seoul pada hujung minggu sebab ia dekat dengan kota. Banyak restoran makanan segar dan kafe yang comel. Jom minum kopi di sini! Kaki belek mesti rasa teruja.
Foto: bnbheroblog
Di sepanjang Culture Street, terdapat Doodle Pillar, Arts Square, Performance Square, Good Harvest Square dan lain-lain. Tambahan pula, ada taman hiburan serta taman tema seperti ‘Play Hill’, Apollo Disco dan Viking Rides untuk mereka yang suka rasa teruja.
Kalau suka dan mahu melihat matahari terbenam, naiklah kapal persiaran sambil mengelilingi pulau. Macam-macam ada.
Alamat: 252, Wolmi-ro, Jung-gu, Incheon
Goblin, Boys Over Flowers, Secret Garden
Pantai Yeongjin, Jumunjin amat popular sebagai lokasi penggambaran. Jeti berbatu menganjur ke laut merupakan latar yang membuat sesiapa sahaja teruja. Ia menjadi lokasi kegemaran bagi kebanyakan pasangan untuk merakam foto dan mengabadikan kasih. Di situ juga menyediakan muffler serta bunga buckwheat (mungkin plastik je) untuk disewa. Bolehlah perasan macam adegan dalam drama Goblin gitu.
Foto: travelingyuk
Makanan laut yang segar boleh dibeli di pasar. Selain itu restoran juga menyediakan ikan, sotong, udang yang dicelur atau dipanggang. Dulu tempat ni biasa-biasa saja, tapi sejak drama Goblin ditayangkan, pelancong dari seluruh dunia berpusu-pusu datang ke sini.
Alamat: 1609 Haean-ro, Jumunjin-eup, Gangneung-si, Gangwon-do
Begitulah kalau dah terkenal, kan? Semua orang nak alami dan melihat sendiri pengalaman serta keindahan pemandangannya. Kita ni, bila agaknya boleh menjejakkan kaki ke semua tempat itu ya? - CARI
|
|