Silikon Tertonjol, Hajat Berhidung Mancung Tak Kesampaian
http://www.mstar.com.my/berita/berita-dunia/2018/01/02/implan-hidung-tertonjol/
Diterbitkan: Selasa, 2 Januari 2018 9:01 AM
SEORANG wanita Thailand yang namanya tidak didedahkan telah berkongsi gambar pembedahan hidungnya yang tak menjadi untuk memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menjalani prosedur berisiko tanpa memeriksa latar belakang klinik terlebih dahulu.
Dia menjalani pembedahan di sebuah klinik di bandar Hat Yai, selatan Thailand, yang menawarkan pembedahan hidung (rhinoplasty) pada harga murah.
Prosedur itu melibatkan teknik implan silikon pada hidungnya untuk membuatkannya kelihatan lebih mancung , sama seperti yang dilakukan dalam pembedahan pembesaran payudara.
Wanita itu bagaimanapun mengalami jangkitan yang menyebabkan keradangan di bahagian yang dibedah.
Wajahnya tidak dapat menerima prosedur itu dan apa yang mengejutkan, implan itu telah tertonjol di bahagian atas hidungnya, betul-betul antara mata kiri dan mata kanannya.
-fotoTheSunUK
Dia kemudian pergi semula ke klinik itu untuk mendapatkan bantuan, tetapi mereka menolaknya, dengan memberitahu media tempatan bahawa mereka 'tidak bertanggungjawab' untuk prosedur yang gagal dan 'enggan untuk membantunya’.
Wanita itu sungguh bernasib baik apabila mendapat simpati di Bangkok, di mana sebuah klinik pembedahan plastik bersedia merawatnya dan mengeluarkan implan silikon secara percuma.
-fotoTheSunUK
Gambar-gambar menunjukkan terdapat kesan lubang besar di atas hidungnya tempat di mana implan itu dimasukkan. Masih tidak jelas bagaimana pakar bedah akan memperbaiki keadaan wajahnya yang sudah rosak itu.
Pembedahan kosmetik adalah popular di Asia. Rhinoplasty khususnya amat popular kerana populasi Asia mempunyai hidung yang kurang mancung, jadi implan silikon dapat membuatkan mereka mendapat bentuk atau saiz hidung yang diinginkan.
Walau bagaimanapun, pengalaman wanita Thai ini adalah amaran yang amat mengerikan kepada wanita yang melakukan pembedahan pada harga murah.
Bukan sahaja dia tidak mendapat rupa yang dikehendaki, dia kini mempunyai lubang dan parut yang pada wajahnya yang sebelum ini sempurna.
Klinik pembedahan kosmetik di seluruh Thailand berkongsi gambar pengalamannya sebagai amaran kepada orang lain yang mahukan harga murah untuk tujuan ini dan ia telah tular di seluruh dunia.
Masih tidak jelas sama ada wanita itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap klinik terbabit.
|