Kaki 'Nasi Kandar' tentu takkan lepaskan peluang menjamu selera di sini. Kedudukan Restoran Ibramsha juga strategik iaitu di Jalan Tunku Abdul Rahman, sederet dengan panggung Coliseum yang bersejarah tu.
Hanya nak parkir kereta agak sukar dan kena berjalan kaki sedikit dari tempat parkir awam terdekat. Ia dibuka dari 7 pagi hingga 7 petang.
Datanglah dengan perut lapar, baru berbaloi
Kalau suka makan nasi kandar di restoran 'old-school' (berciri tradisional), inilah tempatnya. Kalau zaman dulu, Seniman Agung P. Ramlee suka makan di Restoran Kudu iaitu salah sebuah restoran nasi kandar autentik tidak jauh dari Pasar Chow Kit.
Dari segi lauk-pauk pula, kebanyakan restoran begini tak jauh beza dari segi jenisnya. Hanya ada satu atau dua lauk saja yang berbeza.
Nasi Kandar dan kuah campuran pelbagai kari satu kemestian
Ada ayam kurma, daging masak hitam atau kicap, telur dadar, telur masin atau telur rebus, udang kari kering, kari kepala ikan, hati tumis kicap selain kari-kari yang biasa seperti kari ayam, kari ikan, kari kambing. Hmm, memang tak muat kalau nak senaraikan kesemuanya. Oh, ya! Ayam goreng berempah jangan lupa dirasa, rugi kalau tak ambil.
Pinggan kena comot sebab itulah ciri nasi kandar yang sebenar
Kalau tak mahu beratur panjang, kenalah datang sebelum 12 tengah hari atau selepas 2 petang. Atau kena tunggu pelanggan sudah makan baru boleh duduk. Kalau sesak sangat, kena duduk tanpa meja. Ah, kerana keenakan nasi kandar di sini, apa-apa pun sanggup. Tak ada menja pun tak mengapa.
Masih mengekalkan 'kandar' yang diletak bekas nasi
Restoran Ibramsha sudah bertapak di sini sejak berdekad lalu. Pelanggannya datang dari setiap pelusuk negara. Ada yang singgah selepas penat membeli-belah di sekitar Jalan Masjid India. Jangan lupa pesan teh tarik kerana ia minuman yang sangat serasi digandingkan dengan nasi kandar. Tak terkata enaknya!
Tempat strategik, jauh dari kesibukan kedai lain
Alamat: 68, Jalan Tunku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur.
Nak rasa nasi kandar asli, kenalah datang sini. Harga pun berpatutan. Yang penting, puas hati. - CARI |