Sungai tulang babi
https://www.hmetro.com.my/utama/2018/02/311332/sungai-tulang-babi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 5:38 AM
Nor Fazlina Abdul Rahim
[email protected]
Sebanyak 61 ekor khinzir dipercayai dari Pahang untuk diseludup ke Thailand dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan di Lalang pepuyu.
Rantau Panjang: Kegiatan penyeludupan khinzir yang semakin rancak menggunakan laluan Sungai Golok menimbulkan kebimbangan penduduk.
Mereka mendakwa, kegiatan itu menyebabkan Sungai Golok yang menjadi tumpuan penduduk di kawasan berkenaan tercemar apabila tulang lebihan babi itu dibuang ke sungai.
Jika sebelum ini, penduduk mencari etok dan ikan di Sungai Golok kerana bekalan yang banyak sehingga mampu menjana pendapatan, namun kegiatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan sungai berkenaan kotor dengan darah serta tulang babi.
Penduduk kampung yang mahu dikenali sebagai Esah berusia 50-an berkata, aktiviti itu sudah lama berlaku dan dibantu penduduk yang beragama Buddha.
“Kami tidak kisah sekiranya mereka menyeludup kambing atau lembu, ini membabitkan khinzir menyebabkan kami tidak boleh makan hasil dari Sungai Golok.
“Setiap kali musim kemarau dan paras air Sungai Golok kering, memang jelas kelihatan tulang khinzir yang berselerak di lokasi berkenaan,” katanya.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Jusoh, 61, meminta pasukan keselamatan memperketatkan kawalan dan rondaan supaya kegiatan penyeludupan khinzir dihapuskan.
“Sekiranya kegiatan itu tidak menjejaskan penduduk kampung, mungkin kami boleh berdiam diri. Namun berapa ramai yang makan hasil daripada Sungai Golok sedangkan ia dipenuhi tulang khinzir.
“Kegiatan penyeludupan khinzir begitu aktif dan beberapa lokasi di Kampung Kuala Itik dijadikan sasaran untuk menghantar bekalan terbabit,” katanya.
|