|
Ramai yang terkeliru dengan istilah bahasa Inggeris iaitu Bacon dan Ham. Ada yang mengatakan ia adalah kaedah masakan dan ada pula yang menyebut nama itu khas untuk daging khinzir semata-mata.
Malahan di hotel Malaysia sendiri, banyak yang menggunakan istilah ‘beef bacon’ dan ‘chicken ham’ untuk ditunjukkan proses ‘halalnya’.
Perdebatan ini tidak menghalang netizen yang tinggal di Namibia ini, Ida Alina Salleh membuat projek ‘beef bacon’ bagi menikmati keenakan daging halal yang diasapkan.
Jadi, jika anda teringin dan rajin untuk membuat sendiri daging yang sangat sedap ini, bolehlah mencubanya dengan langkah demi langkah di bawah.
1) Sebaik-baik bahagian untuk membuat beef bacon ialah bahagian dekat pusat / navel lembu. Ia dipanggil “plate”. Jika tak dapat plate, boleh beli bahagian sebelahnya, “brisket”.
2) Sediakan bahan 'dry rub' iaitu 3 sudu besar garam kasar (laut lagi baik), 1/3 cawan gula pasir, 2 sudu besar lada hitam (tumbuk kasar) dan 2 sudu kecil paprika
3) Sapukan dan urutkan daging dengan campuran 'dry rub'
4) Masukkan daging ke dalam plastik dan tutup rapat. Pastikan air daging tidak keluar dari plastik. (Letak di bahagian 'chiller' bukannya freezer / pembeku). Perap sekurang-kurangnya 5 hari. Setiap hari keluarkan dan urut daging (dari luar plastik sahaja) untuk pastikan rempah menyerap. Daging akan keluarkan air dan tekstur daging akan mengeras sedikit.
5) Pada hari ke 6, keluarkan daging, basuh bersih dengan air sahaja. Tidak apa jika ada sedikit rempah yang melekat pada daging. Lap hingga kering
6) Biarkan daging terdedah, masukkan kembali ke dalam peti sejuk untuk dikeringkan lagi semalaman.
Keesokannya, keluarkan daging dan biarkan ia berada pada suhu bilik ( letak dalam oven yang dimatikan sebab tidak mahu dihurung lalat)
7) Sementara itu, siapkan bahan untuk mengasap. Saya gunakan 3 sudu besar beras, 2 sudu besar gula perang, satu sudu besar teh boh. Semua bahan ini akan di panaskan hingga ia terbakar dan mengeluarkan asap. Asap ini yang akan memberikan “beef bacon” itu rasa yang unik
8) Inilah rupa pengasap atau 'smoker' yang khas untuk mengasap. Warna ungu itu ialah 'methylated spirit' yang digunakan sebagai bahan api. Jika tiada 'smoker', boleh guna kuali untuk mengasap daging dengan cara letakkan bahan asapan (beras dll) pada dasar kuali. Kemudian letakkan daging atas rak berjaring. Tutup kuali rapat-rapat lalu nyalakan api. Gula dan beras akan terbakar dan mengeluarkan asap. Asapkan selama sejam.
9) Inilah rupa daging setelah diasapkan
10) Sejukkan daging dan hiris nipis-nipis. Inilah rupanya dari daging lembu seberat 1.5kg. Boleh digunakan sebagai 'breakfast beef' atau di dalam sandwich, salad dan pasta carbonara.
Jadi, bagaimana? Anda rajin untuk membuatnya? Jika rajin, tahniah dan jangan sedih jika belum 'rajin' lagi. Buat sahaja daging salai macam biasa, sedap juga. - CARI
Kredit : Ida Alina Salleh menerusi Masak Apa Hari Ini (MAHN)
|
|