Seorang lelaki tanpa rasa takut menyamun seorang guru yang sedang mengajar di sekolah kebangsaan di Puchong Indah, Puchong, jam 5.20 petang semalam, lapor Harian Metro.
Gambar Hiasan: Bangladesh Time
Difahamkan, ketika kejadian guru wanita berusia 30 tahun itu duduk di mejanya selepas meminta lebih 40 pelajarnya menyalin satu nota tugasan.
Kemudian, seorang lelaki bertopi keledar merah berpenutup muka masuk ke dalam kelas sambil membawa sekeping kertas kononnya ingin bertanya lokasi sebuah kelas lain.
Bagaimanapun, suspek terus menarik beg tangan mangsa di atas meja sebaik mangsa ingin menunjukkan lokasi kelas ditanya.
"Mangsa terus berusaha menarik kembali beg tangannya, namun suspek terus merentap beg berkenaan sebelum melarikan diri.
"Ekoran dari itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan pada lutut kanannya," kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari.
Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek memasuki sekolah melalui pintu belakang yang tidak dikawal.
"Kita tidak menolak kemungkinan faktor kedudukan kelas yang terletak di hujung blok serta berhampiran pintu belakang menyebabkan suspek menjadikannya sebagai sasaran.
"Selain itu, pada masa kejadian, terdapat dua pengawal keselamatan berada dalam kawasan sekolah berkenaan, namun siasatan lanjut sedang dilakukan," jelasnya.
Pemeriksaan mendapati barang yang dicuri termasuk wang tunai RM100, kad pengenalan, lesen memandu, kad pengeluaran wang (ATM), dua telefon bimbit serta kunci rumah dan kenderaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun. - CARI |