|
Seorang remaja perempuan yang menjadi mangsa perdagangan manusia dan pelacuran pada usia 13 tahun tampil ke hadapan dan mendedahkan penderitaan yang terpaksa dialaminya termasuklah, dipaksa mengambil steroid lembu.
Rupa yang kini berusia 19 tahun berkata, dia sudah bekerja di salah sebuah pusat pelacuran yang ada di Bangladesh sejak lima tahun yang lalu, ketika negara itu kekal dengan keputusan untuk menjadikan pelacuran sebagai satu industri yang sah.
Gadis malang ini bekerja di Kandipara, salah sebuah rumah pelacuran daripada 20 buah pusat pelacuran sah yang terdapat di Bangladesh. Malah Rupa mendedahkan bahawa terdapat kira-kira 400 pelacur yang tinggal bersama-samanya di Kandipara.
Undang-undang Bangladesh tidak membenarkan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun terlibat dalam industri pelacuran dan mana-mana wanita hanya dibenarkan terlibat dalam industri tersebut setelah berjaya mendapatkan permit daripada kerajaan.
Advertisement
Namun kajian menunjukkan bahawa 47 peratus wanita yang ketika ini terlibat dalam indsutri tersebut sebenarnya pernah menjadi mangsa perdagangan manusia dan dipaksa bekerja secara haram menjelang usia 18 tahun, tanpa kerelaan mereka.
Malah Rupa sendiri adalah mangsa perkahwinan bawah umur, iaitu pada usia 11 tahun dengan lelaki yang berusia 3 kali ganda lebih tua daripadanya. Rupa juga memiliki seorang anak daripada perkahwinan tersebut, namun suaminya terbunuh dalam satu kemalangan tempat kerja hingga menyebabkannya hilang tempat bergantung, sekali gus membuka jalan untuk dia menjadi mangsa perdagangan manusia.
”Keluarga memberitahu bahawa mereka tidak mampu untuk menjaga saya dan anak saya. Malah, mereka memberitahu bahawa saya sudah tiada dara dan tiada lelaki yang mahu berkahwin dengan saya,” dedah Rupa kepada akhbar.
Bagi membesarkan anaknya, Rupa berhijrah ke Daka sebelum bertemu dengan pengendali rumah pelcuran, menandakan detik gelap hidupnya bermula.
Rupa kemudian dijual kepada Kandipara, dan dikurung dalam sebuah bilik berkunci. Rupa pernah beberapa kali cuba melarikan diri, namun tertangkap dan dipukul berulang kali oleh mereka yang menguruskan Kandipara sebagai ugutan supaya tidak melarikan diri lagi.
Lebih malang, ketika itu dia yang masih remaja, dipaksa untuk mengambil sejenis stroid yang diberikan kepada haiwan ternakan lembu, Oradexon bagi mempercepatkan kematangan tubuh badannya agar kelihatan sebgai seorang dewasa.
”Saya merasa amat takut apabila penjaga membawa saya ke balai polis untuk mendapatkan permit. Saya hanya mengulang-ulang kenyataan yang perlu saya berikan kepada polis seperti yang diarahkan oleh penjaga saya.
”Kenyataan itu berbunyi, ”Saya sudah berusia 18 tahun dan saya secara sukarela bekerja dalam industri pelacuran kerana tidak mempunyai pekerjaan lain”,’ kata Rupa lagi yang turut mendedahkan pernah dipaksa melayan sehingga 12 orang pelanggan setiap hari.
Malah katanya, dia dipukul setiap hari oleh pelanggan sehingga mengalami luka-luka, namun pengendali Kandipara memaksanya menyembunyikan kecederaan tersebut bagi membolehkannya terus bekerja, sehingga sekarang.
”Saya mengimpikan masa depan yang lebih baik, tetapi saya tahu ia mustahil untuk saya,” katanya.
Sumber : Dailymail
|
|