|
SYDNEY: Seorang lelaki hari ini mengaku bersalah membunuh seorang ibu muda dan anaknya yang mana rangkanya ditemui dalam sebuah beg pakaian di tepi jalan, menamatkan kes yang mengejutkan polis dan rakyat Australia.
Daniel James Holdom, 43, mengaku melakukan pembunuhan berganda pada 2008 terhadap Karlie Jade Pearce-Stevenson, 20, dan anak perempuannya berusia dua tahun, Khandalyce Kiara Pearce, ketika dihadapkan di Mahkamah Agung New South Wales (NSW).
Rangka Karlie ditemui pada 2010 di Hutan Negara Belango di NSW, terkenal sebagai tapak pembuangan di mana tujuh mayat pengembara beg galas ditemui ketika pembunuhan bersiri pada 1990-an.
Polis gagal mengenal pasti mangsa sehingga 2015 apabila rangka anaknya ditemui orang ramai dalam beg pakaian berhampiran sebatang lebuh raya hampir dengan bandar kecil Australia Selatan sejauh 1,100 kilometer dari situ.
Penemuan rangka kanak-kanak itu menjurus dua panggilan talian kecemasan polis yang akhirnya membantu penyiasat mengenal pasti anak beranak itu menerusi DNA.
Holdom, yang menjalin hubungan singkat dengan Pearce-Stevenson, didakwa memijak leher wanita itu dan menghancurkan salur pernafasannya sebelum membuang mayatnya dalam hutan, lapor akhbar Daily Telegraph di sini, memetik dokumen mahkamah.
Polis juga mendakwa, tertuduh menyimpan gambar tubuh Pearce-Stevenson sebagai ‘kebanggaan.’
Beberapa hari kemudian, Holdon mendakwa dia memandu anak perempuannya ke Australia Selatan, ke rumah neneknya namun sebaliknya membunuh kanak-kanak itu, meletakkan mayatnya dalam beg pakaian sebelum membuangnya di tepi lebuh raya.
Tertuduh akan dijatuhi hukuman akhir September ini.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 4:38 PM
|
|