Masih ingat lagi dengan 10 cabaran bagi pengemar aktiviti lasak (daredevil) yang boleh dilakukan di Sabah? Sebelum ini kami kongsikan lima cabaran dan ini bakinya!
BACA JUGA: 10 Cabaran Di Sabah Buat Para Daredevil, Anda Berani? (Bahagian 1)
6. White-water Rafting di Sungai Padas atau Sungai Kiulu
Sumber Gambar: Journey Malaysia
Bagi mereka yang baru mula berjinak-jinak dengan aktiviti ini (beginner), bolehlah bermula dengan Sungai Kiulu sepanjang 7 kilometer (km) yang memakan masa sekitar satu jam setengah.
Tetapi, para daredevil tegar perlu mencuba di Sungai Padas yang lebih memacu adrenalin. Sepanjang 9 km, ianya memakan masa 2 jam dan anda akan melalui tujuh jeram tahap sukar dan mencabar dinamakan Merry-Go-Round Rapid, Break Point Rapid, Scooby Doo Rapid, Cobra Rapid, Curve Rapid, Lambada Rapid dan Head Hunter Rapid. Anda pasti tidak dapat melupakan pengalaman ini!
7. Mountain-Biking di Kawasan Kampung dan Pergunungan
Sumber Gambar: Borneo Dream
Beberapa kawasan mencabar untuk para penunggang basikal lasak termasuklah di Kota Belud, Tamparuli, Lembah Kiau, Kampung Kaung dan Pantai Dalit.
Sepanjang laluan berbasikal, anda akan melalui kawasan perkampungan, sawah padi, sungai, denai dan lembah yang mencabar fizikal serta mental masing-masing. Anda punya pilihan untuk mengikuti aktiviti sehari atau bermalam di kawasan perkhemahan terpilih.
8. Menunggang ATV di Kundasang
Sumber Gambar: WHOA!Adventures
Berlatarbelakangkan keindahan Gunung Kinabalu, anda akan menunggang All Terrain Vehicles (ATV) melalui perkampungan suku Dusun, ladang ternakan lembu dan juga kebun sayuran.
Pastikan anda memakai pakaian bersesuaian kerana angin sepoi-sepoi bahasa dan cuaca sejuk yang mencengkam sepanjang laluan mungkin menambah cabaran buat anda dalam aktiviti lasak ini.
9. Indoor Rock Climbing di SICC
Sumber Gambar: Blog Sportsrecreationtec
Jika anda berminat untuk memanjat dan mendaki, tetapi tidak berkesempatan mendaki Gunung Kinabalu, berkunjunglah ke Sabah Indoor Climbing Centre (SICC) untuk melepaskan gian.
Keselamatan menjadi fokus utama di Pusat ini dengan kakitangan berpengalaman dan cekap. Terdapat beberapa tahap kesukaran untuk dipilih, jadi sesuai untuk tahap beginner mahupun tahap ekstrem. Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan.
10. Makan Butod di Restoran D'Place Kinabalu
Sumber Gambar: Blog wanderingwerda
Jika aktiviti fizikal tidak mencabar anda, apa kata cuba makan Butod? Butod atau ulat sagu diambil dari pokok sagu atau rumbia. Makanan eksotik dari suku kaum Kadazan Dusun Sabah ini dikatakan istemewa kerana mengandungi khasiat protein yang tinggi.
Proses mendapatkan butod bukan mudah kerana pokoknya perlu ditebang terlebih dahulu, kemudian dibiarkan mereput sehingga 'indungnya' mula bertelur.
Butod boleh dimakan mentah-mentah atau digoreng sehingga garing terlebih dahulu. Makanan ini selalu dijadikan menu istemewa ketika majlis keramaian, tetapi kini boleh didapati sepanjang masa di sebuah restoran bernama D'Place di Kota Kinabalu.
Bagaimana? Bagi yang tidak biasa dengan aktiviti lasak sebegini, beranikah anda mencabar diri sendiri? - CARI |