|
Lelaki berusia 59 tahun bakal menyambut Tahun Baru Cina dalam kesedihan selepas menemui isterinya tergantung di dalam rumah mereka di Kampung Nyior, Paka, petang semalam, lapor Sinar Harian.
Gambar Hiasan
Dipercayai, wanita berusia 53 tahun itu menggantung dan menjerut diri sendiri menggunakan tali rafia yang disambung.
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, lelaki terbabit terkejut menemui isterinya tidak bernyawa dalam keadaan tergantung kira-kira jam 4 petang, semalam.
"Ketika lelaki itu pulang, dia dapati rumahnya terkunci dari dalam.
"Dia yang berjaya masuk melalui pintu belakang dan mencari isterinya terkejut apabila melihat wanita itu berada dalam keadaan tergantung.
"Tali berkenaan diikat pada kayu jeriji di dalam bilik di rumah," katanya.
Selepas memotong tali, lelaki berkenaan bergegas membawa jasad isterinya ke Hospital Dungun.
Hasil soal siasat mendapati, anak mangsa berusia 22 tahun mendakwa ibunya mengalami tekanan kerana masalah kewangan.
"Anaknya mengakui ibunya pernah mengadu mengalami masalah kewangan hingga tidak mampu membeli keperluan harian.
"Tiada pertengkaran berlaku di antara mereka bertiga, malah mangsa sempat berpesan supaya suaminya menjaga anak lelaki mereka itu dengan baik," tambahnya.
Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada unsur jenayah berlaku. - CARI |
|