|
Kebangkitan muzik Korea Pop, yang lebih dikenali sebagai K-Pop kini bukanlah asing di mata peminat muzik di seluruh dunia. Kejayaan mereka yang bersilih ganti di Amerika Syarikat terutamanya, tidaklah memeranjatkan. Dari kumpulan Wonder Girls, Girl's Generation sehinggalah ke Blackpink, mereka semakin mengukuhkan jenama K-Pop yang berjaya menembusi pasaran muzik di seluruh dunia biarpun hanya menggunakan bahasa kelahiran mereka. Jom kita tengok senarai kumpulan yang digilai anak-anak muda zaman sekarang!
BTS
Pencalonan mereka untuk kategori "Best Recording Package" pada majlis anugerah Grammy pada baru-baru ini yang berlangsung di Amerika Syarikat ternyata amat memeranjatkan peminat-peminat muzik di sana. Biarpun pulang dengan tangan kosong, kemunculan mereka di karpet merah anugerah tersebut mendapat liputan luas media bukan sahaja di negara tersebut, malahan di seluruh dunia. BTS juga pernah memenangi anugerah untuk kategori "2018 Favorite Social Artist" pada majlis anugerah American Music Award yang berlangsung pada tahun lalu. Sangat popular dengan lagu "Love Yourself", populariti BTS sebagai kumpulan KPOP paling popular setakat ini ternyata tidak dapat disangkal lagi.
Blackpink
"Blackpink is the revolution" - Sesuai dengan ungkapan yang acapkali dilaungkan di dalam lagu nyanyian mereka, Blackpink ternyata semakin popular di seluruh dunia. Dianggotai oleh Lisa, Jeannie, Rose dan Ji-soo, revolusi muzik yang dibawakan mereka ternyata memberi impak yang sangat besar di dalam kerjaya muzik mereka sehinggakan Blackpink mampu menembusi pasaran Hollywood, baru-baru ini. Mempertaruhkan salah sebuah lagu yang paling popular untuk tahun 2018 yang berjudul Ddu Du Ddu Du, biarpun masih belum mempunyai album penuh, Blackpink kini sedang sibuk dengan siri jelajah untuk konsert sulung mereka yang diberi nama "Blackpink : In Your Area" dan ini termasuklah Malaysia yang bakal menyaksikan kehadiran kumpulan berkenaan tidak lama lagi.
iKON
Siapa saja yang tidak pernah dengar lagu "Love Scenario"? Menjadi antara lagu yang paling hit untuk tahun lalu, iKon yang ditubuhkan pada tahun 2015 sekali lagi berjaya menempatkan diri mereka di antara kumpulan K-Pop yang popular masa kini. iKON juga merupakan pemenang untuk Artist Of The Year, Asia Artist Award yang berlangsung pada tahun lalu.
Momoland
Kumpulan yang dianggotai seramai sembilan orang ini juga tidak kurang hebatnya. Ledakan lagu mereka yang berjudul "Bboom Bboom" pada tahun lalu berjaya melonjakkan nama mereka ke persada muzik di seluruh dunia. Mempertaruhkan sisi yang agak berbeza dari kumpulan Blackpink, aksi lincah dan gedik yang ditonjolkan mereka seiring dengan lagu yang rancak ternyata mampu meletakkan mereka di antara kumpulan Kpop yang terunggul ketika ini,
TWICE
Siapa yang tidak kenal dengan kumpulan TWICE? Pernah dianggap sebagai pengganti kepada kumpulan Girl's Generation, TWICE berjaya meletakkan diri mereka di tangga kedua selepas kumpulan BTS di dalam kaji selidik yang dilakukan Gallup Korea untuk tiga tahun berturut-turut. Biarpun lagu-lagu dendangan mereka tidaklah sehebat sambutan yang diberikan kepada Blackpink pada tahun lalu, kumpulan Twice masih memiliki kelompok peminat yang besar sehingga masih mampu menyerlah dan khabarnya mereka juga merupakan di antara penyumbang utama kepada kenaikan saham JYP Entertainment yang meningkat dari angka ₩4,500 kepada ₩31,400 pada tahun 2018.
Ternyata kerja keras mereka diiringi muzik-muzik yang trendy dan terkini amat berbaloi. Bila agaknya artis-artis Malaysia akan berjaya seperti mereka ya? -CARI |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|