Seorang remaja lelaki maut tercucuk buluh di leher ketika membonceng motosikal jam 9 pagi tadi di Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar, di Machang, lapor Harian Metro.
Kredit foto: Harian Metro/NSTP
Dalam kejadian, Mohd Asri Azman, 17, membonceng motosikal dengan sepupunya untuk bersiar-siar di sekitar kampung bersama seorang lagi sepupu mereka yang menunggang motosikal lain.
Difahamkan, motosikal yang ditunggang sepupunya itu berselisih dengan sebuah motosikal yang membawa buluh.
“Kami berada di bahagian hadapan, manakala seorang sepupu mengikuti di bahagian belakang. Ketika sampai di lokasi kejadian, saya melihat seorang pak cik menunggang motosikal jenis EX5 dari arah bertentangan membawa sebatang buluh yang diletakkan di atas bahu," kata sepupu Mohd Asri, Mohd Fitri Rosdi, 18.
Kredit foto: Sinar Online
Menurutnya, mereka bagaimanapun gagal mengelak hingga buluh berkenaan mencucuk leher mangsa.
“Sepupu yang mengikut kami terus memberhentikan motosikal sebelum saya turut berhentikan motosikal kerana terkejut.
"Saya terkejut melihat darah banyak di leher sepupu dan sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir," katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintenden Mohd Shamsuri Mohd Zain yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara cuai menyebabkan kematian. - CARI |