Jika anda seorang yang berkerjaya dan tiada masa untuk memasak secara 'grand' buat seisi rumah, mungkin boleh cuba resipi tidak sampai lima minit ini. Selain rasanya yang sedap, ianya juga amat mengenyangkan.
Menelusuri laman Facebook Masak Apa Harini (MAHN), saudari Nur Asykeen telah berkongsi resipi tauhu masak sambal yang sangat sedap.
Kebiasaannya, tauhu akan dibuat sebagai masak tiram dan kali ini boleh cuba sedikit kelainan dengan masak sambal pula.
Langkah pertama, keluarkan tauhu dari plastik, bilas dengan air dengan berhati-hati supaya tidak berkecai dan potong mengikut saiz dikehendaki. Bulat atau petak, terpulang kepada cita rasa masing-masing.
Goreng dengan telur
Ambil dua biji telur, tambah sedikit perasa dan garam. Masukkan tauhu ke dalam telur dan rendam sekejap. Kemudian, goreng sehingga kekuningan. Ratah pun dah sedap!
Resipi Masak Sambal
Untuk resipi masak sambal, mudah sahaja. Rendam 10 tangkai cili kering buat seketika. Kemudian, kisar bersama bawang merah (dalam 10 biji), bawang putih dan halia.
Kisar hingga halus dan tumis hingga minyak. Dah garing cili tersebut, masukkan tauhu yang telah digoreng sebelum tambah sedikit serbuk perasa dan garam. Kacau hingga sebati.
Siap!
Dah siap tauhu goreng masak sambal. Anak dan suami pasti suka. Selamat mencuba! - CARI
|