Gambar hiasan. Kredit foto: Motor Trader
Kerajaan mungkin tidak lagi menguatkuasakan harga siling untuk petrol RON95 apabila pemberian subsidi minyak yang dihadkan hanya kepada para penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dilaksanakan.
Memetik laporan The Star Online pada 23 April, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu sedang dipertimbangkan oleh Kabinet.
"Kita juga akan memutuskan sama ada subsidi bersasar akan berdasarkan harga siling sedia ada atau mengikut sistem apungan harga," jelasnya.
Saifuddin Nasution Ismail. Kredit foto: Facebook
Pada Februari lalu, kerajaan mengumumkan bahawa harga siling petron RON95 ditetapkan pada RM2.08 dengan tanpa mengambil kira kenaikan harga minyak dunia.
Harga minyak semasa di Malaysia. Kredit foto: CompareHero
Saifuddin menambah, kementeriannya bercadang untuk menggunakan data BSH untuk menentukan jumlah individu yang layak menerima subsidi petrol.
Menurut beliau, masalah yang dihadapi adalah kira-kira 10 peratus daripada penerima BSH terutamanya di kawasan luar bandar tidak mempunyai akaun bank.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah berbincang dengan beberapa bank bagi membantu golongan berkenaan membuka akaun.
Saifuddin memberitahu, jika kaedah tersebut berhasil, ia akan diperluaskan untuk pemberian subsidi barangan lain seperti minyak masak dan tepung.
Nampak gayanya memang tiada harapan untuk melihat harga minyak diturunkan kepada RM1.50 seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
-CARI