Kredit foto: Carian Google
Semua kedai makan dan restoran di Kelantan diarahkan untuk menutup premis atau menghentikan sementara operasi masing-masing mulai jam 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Arahan itu dikeluarkan melalui surat daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang dikongsikan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam laman Facebook miliknya pada 6 Mei.
Menurut surat berkenaan, arahan itu dikuatkuasakan serta-merta bagi menghormati Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid atau surau.
Surat arahan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Kredit foto: Facebook
Sementara itu, Nik Mohamad Abduh berkata, beliau berharap dan berdoa agar arahan tersebut ditarik balik.
"Ia mengganggu kebenaran dan keberkatan bulan Ramadan yang penuh berkat. Rezeki yang halal dan baik di bulan Ramadan wajar digalakkan, bukan dihalang," katanya.
Beliau berpandangan, umat Islam digalakkan untuk menguruskan masa masing-masing dengan bijak untuk melakukan ibadah khusus dengan berpandukan sunnah Rasulullah SAW sepanjang Ramadan.
Arahan itu berniat baik, cuma mungkin menimbulkan kesulitan kepada pengusaha kedai makan dan restoran yang bergantung kepada kunjungan pelanggan pada waktu malam kerana premis mereka ditutup pada waktu siang. - CARI
|