Edited by mbhcsf at 11-5-2019 04:33 AM
assalamualaikum,
berikut saya paparkan andungan rencana berkenaan ramadhan dan hubungannya dengan juzuk insani. I love the content of the article, kandungannya sarat dengan konsep insan dan hubungannya dengan The Supreme Creator.
Manusia dan Ramadan
Dr Mohd Farid MohD Shahran
sumber pautan asal:
http://www.ikim.gov.my/index.php/2019/05/07/manusia-dan-ramadan/
Di samping kejadian-kejadian luar biasa yang berlaku dalam peristiwa Israk Mikraj yang disambut baru-baru ini, salah satu pengajaran yang yang jarang diketengahkan ialah hakikat bahawa kedudukan tertinggi yang harus dicapai oleh seseorang insan dalam hubungannya dengan Tuhan ialah untuk kembali menjadi seorang hamba yang sebenar. Ini dibuktikan apabila ayat pertama dalam Surah al-Isra’ yang menceritakan kisah tersebut telah menggunakan istilah ‘hamba’ bagi merujuk kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad, “Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambanya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati persekitarannya bagi memperlihatkan tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (Surah al-Isra’, ayat 1).
Istilah hamba yang digunakan dalam ayat ini amat signifikan di sebalik hakikat bahawa Nabi Muhammad dicipta sebagai makhluk terbaik, kekasih Allah, penghulu kepada segala para Nabi dan Rasul, dikurniakan kebaikan yang amat banyak (Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadamu kebaikan yang amat banyak, Surau al-Kawthar, ayat 1).
Peristiwa Isra’ Mi’raj sendiri adalah satu bukti baginda telah diberi keistimewaan yang tidak pernah diberikan kepada segala makhluk apabila baginda telah dibawa dalam satu perjalanan penuh luar biasa, bertemu dengan nabi-nabi terdahulu, melihat balasan syurga dan neraka, sehingga naik terus melewati batas terakhir kewujudan (sidratul muntaha) untuk bertemu dengan Pencipta Rabbul ‘Izzati. Tiada insan seagung dan setinggi manapun pangkat dan gelaran yang diterima di dalam sepanjang sejarah kemanusiaan yang pernah diberikan kelebihan ini.
Namun Junjungan besar Nabi Muhammad masih dirujuk oleh al-Qur’an sebagai seorang hamba. Ini jelas menunjukkan bahawa kedudukan sebagai hamba bukanlah petunjuk kepada kehinaan manusia khususnya apabila merujuk kepada hubungannya dengan Tuhannya. Imam Fakh al-Din al-Razi ketika mentafsir ayat berkaitan Isra’ Mi’raj ini mengatakan bahawa ketika bertemu dengan Allah, Nabi Muhammad telah ditanya apakah perkara yang menggembirakan baginda dalam perjalanan ini, Nabi menjawab kegemambiraan baginda ialah apabila dinisbahkan sebagai hamba yang sebenar di sisi Allah. Demikianlah adab yang tertinggi yang ditunjukkan oleh insan terbaik yang telah dicipta oleh Allah. Sememangnya tiada adab yang lebih layak ditunjukkan oleh seorang hamba di hadapan Tuhannya melainkan dengan kembali kepada kedudukan sebenar ia dijadikan iaitu untuk tunduk dan menyerah diri kepada Tuhannya dengan tulus dan ikhlas sebagaimana yang dirakamkan al-Quran, “Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menghambakan diri kepada Tuhan.” (Surah al-Zariyat, ayat 56)
|