Masa penulis kecil dahulu, bila keluar bermain waktu petang, opah selalu berpesan agar pulang segera sebelum waktu Maghrib. Agak-agak kenapa orang tua-tua selalu berpesan supaya duduk diam-diam dalam rumah waktu Maghrib, tutup pintu dan tingkap?
Perkara yang dikongsikan ini mungkin hanya kebetulan. Menerusi laman sosial Info Ibu Hamil, seorang pembaca telah berkongsi sekeping gambar diambil pada tahun 2013.
Gambar tersebut menunjukkan bayi sulungnya sedang dimandikan. Menurut ibu tersebut, bayinya dimandikan ketika menjelang waktu Maghrib.
Pengirim gambar ini turut bertanya soalan mengenai penampakan imej 'pelik' dalam gambar tersebut. Persoalannya, apakah imej yang kelihatan itu? Makin lama penulis tenung gambar ni, rasa seram pula. Netizen juga memberikan pelbagai reaksi.
Sekadar pantulan cahaya dari pusat besen atau kesan titisan air...
Penampakan makhlus halus... ( Ini seram )
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, kebanyakan manusia pada hari ini mengambil ringan dengan beberapa panduan yang telah diajar oleh Nabi SAW berdasarkan hadith-hadith yang Baginda SAW tinggalkan.
Antaranya berkaitan perkara yang perlu dilakukan ketika masuknya waktu senja. Ini kerana, dinyatakan di dalam hadis bahawa syaitan berkeliaran pada waktu tersebut.
Dari sahabat Jabir radhiallahu’anhu, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Jika malam datang menjelang, atau kalian berada menjelang Maghrib maka tahanlah anak-anak kalian (di rumah), kerana ketika itu syaitan sedang bertebaran. Jika telah berlalu sesaat dari waktu malam, maka biarkan mereka (jika ingin keluar). Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada Allah, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula bekas minuman dan makanan kalian walau sekadar dengan meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu kalian” (HR. Bukhari 3280, Muslim 2012).
Hadis ini menganjurkan kita supaya ketika menjelang waktu Maghrib tidak dibenarkan kanak-kanak untuk keluar rumah kerana ketika itu bertebaran syaitan terbang. InsyaAllah dibolehkan keluar jika ada keperluan. Ini semua dilakukan untuk mengelakkan gangguan syaitan.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia pula, waktu paling sesuai memandikan bayi sekitar jam 10 pagi dan jam 5 petang. Ibu bapa atau penjaga perlu memastikan proses mandian bayi tersebut dilakukan dengan cara yang betul dan selamat.
Penulis berpendapat lebih baik elakkan daripada memandikan bayi pada waktu senja atau Maghrib bagi memelihara bayi daripada perkara tidak baik. Semoga bermanfaat. - CARI |