Anwar Ibrahim ketika menghadiri Seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam. Kredit foto: Facebook
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan pemikiran luar biasa apabila mencadangkan bantuan zakat turut diperluaskan kepada orang bukan Islam.
Memetik laporan Free Malaysia Today, langkah itu boleh dipertimbangkan dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menjelaskan wang zakat sepatutnya diagihkan kepada umat Islam terlebih dahulu, namun pada masa sama tindakan memperluaskan bantuan kepada bukan Islam adalah satu strategi dakwah yang baik.
"Ikut pendapatlah seperti dinyatakan Yusuf al-Qaradawi. Itu bukan diharuskan, tetapi dalam konteks masyarakat kita itu digalakkan. Tetapi, bukannya sampai menyisihkan umat Islam, keutamaan tetap pada umat Islam.
"Contohnya, katakanlah ada tiga keluarga berdekatan dibantu institusi zakat dan keluarga keempat itu adalah penganut Hindu, jadi bolehkah kita ketepikan," katanya dalam Seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam di Shah Alam pada 30 Oktober.
Zakat hanya dikutip daripada umat Islam dan diagihkan semula kepada asnaf-asnaf yang ditetapkan oleh syarak. Kredit foto: The Jakarta Post
Walau bagaimanapun, Anwar menyatakan cadangan tersebut hanya satu pandangan peribadi yang memerlukan perubahan terhadap fatwa dan dasar jika ingin diamalkan.
Beliau juga percaya institusi zakat perlu menunjukkan contoh baik dari segi pengurusan, ketelusan dan kebertanggungjawaban.
"Bagi saya, gunakan sebanyak mungkin dana dari institusi zakat untuk bantu selesaikan masalah kemiskinan. Apakah dengan cara geran, membiayai pendidikan, kesihatan, perumahan. Itu gunakanlah kebijaksanaan masing-masing," katanya.
Mungkin Anwar terlupa orang bukan Islam yang kurang berkemampuan boleh memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk membantu meringankan beban kewangan. - CARI |