Kredit Foto : FB Viralpress Malaysia
Pemilik butik pengantin, Nur Amirah Mohd Amiruddin, 26 akhirnya tampil meminta maaf apabila mendapat kecaman hebat orang ramai usai gambar penggambaran pakaian pengantin di kawasan perkuburan Kristian butik beliau menjadi viral di media sosi@l.
"Saya mengakui kesilapan itu daripada diri sendiri dan memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung,"katanya memetik laporan Harian Metro.
Gambar itu tular di media sosi@l hingga mengundang kemarahan warganet yang kurang senang dengan tindakan jurugambar seolah-olah tidak peka dengan sensitiviti umat Islam mahupun penganut agama Kristian.
Menurutnya, gambar yang diambil pada Ahad lalu adalah untuk koleksi peribadi dan kemudiannya dimuat naik di akaun FB miliknya bukan untuk mencari publisiti.
"Saya yang menjadi jurugambar untuk sesi fotografi berkenaan dan wanita dalam gambar itu adalah model, bukannya pengantin.
"Saya pilih lokasi itu kerana mahu mencari kelainan dan mahu lari daripada kebiasaan dengan mengambil inspirasi daripada luar negara.
"Tujuan saya memuat naik gambar berkenaan di FB adalah untuk suka-suka dan tiada niat langsung mempermainkan mana-mana agama,"katanya ketika dihubungi Harian Metro malam tadi.
Nur Amirah yang menetap di Kluang turut menafikan gambar berkenaan diambil untuk tujuan pemasaran bagi perniagaannya dan apabila ia menjadi tular, beliau menyah aktifkan akaun FB buat sementara bagi meredakan keadaan.
Beliau memaklumkan menerima kritikan warganet dengan hati yang terbuka kerana mengakui kesilapan berpunca daripada dirinya sendiri dan meminta warganet tidak menyalahkan model yang terlibat.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan meranalah badan. Banyak lagi tempat-tempat menarik untuk meragakan pakaian perkahwinan dan banyak lagi cara untuk promosikan perkhidmatan.
Semoga ia menjadi pengajaran buat kita semua.- CARI |