Norhizam Hassan Baktee (dua dari kanan) dalam operasi menembak babi hutan di Melaka baru-baru ini. Kredit foto: Facebook
Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee memang popular dengan kegigihannya membanteras isu babi hutan yang berkeliaran di negeri itu.
Sebagai penghargaan terhadap usaha itu, beliau diiktiraf sebagai 'Juara Penembak Babi' dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 21 November.
Pengiktirafan itu diberikan secara berseloroh oleh Speaker DUN Melaka, Datuk Omar Jaafar semasa Norhizam menjawab soalan berhubung operasi menembak babi hutan yang seterusnya disambut dengan tepukan oleh wakil-wakil rakyat yang lain.
Rakaman video Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu diberi pengiktirafan tersebut tular dalam media sosial termasuk Facebook.
Suasana dalam sidang tersebut kemudian menjadi panas apabila beliau menyalahkan kerajaan negeri terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) yang didakwa gagal menyelesaikan masalah babi hutan.
"Saya nak tanya, kalau kerajaan dulu kata ada buat kerja, jumlah tembak babi mesti banyak. Mana gambar mengatakan Exco dulu ada keluar?
"Saya tunjuk gambar saya, tengah malam eh," jelasnya sambil menunjukkan gambar beliau semasa menyertai operasi menembak babi hutan.
Norhizam Hassan Baktee menunjukkan gambar beliau menyertai operasi menembak babi hutan dalam sidang DUN Melaka. Kredit foto: Facebook
Norhizam turut membangkitkan persoalan sama ada pihak lain termasuk ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron bersedia untuk melaksanakan tugas itu.
Idris yang tidak berpuas hati apabila namanya disebut kemudian bangkit dan menegaskan bahawa kenyataan Norhizam tentang babi hutan datang ke Melaka dari Indonesia telah mencetuskan isu diplomatik antara negara itu dan Malaysia.
"Kerajaan Indonesia marah. Kenapa babi pun hendak dikaitkan dengan Indonesia?" kata Idris.
Idris Haron. Kredit foto: Facebook
Pertikaman lidah yang disulami kata-kata kesat tercetus antara Norhizam dan Idris sehingga menyebabkan Omar terpaksa menangguhkan sidang 14 minit lebih awal sebelum waktu rehat untuk meredakan keadaan.
Banyakkan bersabar YB, kalau tekanan darah naik nanti terjejas pula kesihatan. - CARI |