Berita baik buat rakyat Selangor. Kerajaan negeri akan meneruskan program bantuan air percuma Selangor 2019 melalui Skim Air Darul Ehsan. Pengguna Selangor yang berpendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah boleh terus menikmati air percuma melalui pendaftaran antara 30 September hingga 31 Disember 2019.
Foto: Carian internet. Program air percuma
Pendaftaran baharu ini diperkenalkan dalam usaha penjajaran semula program air percuma, yang dinamakan Skim Air Darul Ehsan, bermula pada 1 Mac tahun depan.
Dato Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, proses itu bagi mengumpul dan mengemaskini data pemohon yang layak melalui semakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Semakan silang butiran pemohon dengan LHDN bermula tahun depan, selepas tempoh pendaftaran ditutup.
Tambah beliau lagi, pemohon akan dimaklumkan selewat-lewatnya penghujung Februari 2020, iaitu sebelum pelaksanaan Skim Air Darul Ehsan yang akan bermula pada 1 Mac 2020.
Sehingga tarikh berkenaan, 1.6 juta pemegang akaun yang sedang menikmati Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu akan terus menikmati rebat itu sehingga 29 Februari 2020.
Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan boleh diperolehi di beberapa saluran termasuk di semua Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan laman sesawang Air Selangor.
Pengguna boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui laman sesawang Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat di www.ssipr.selangor.gov.my. - CARI |