TH Hotel & Convention Centre Terengganu. Kredit foto: Facebook
TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) yang merupakan anak syarikat Lembaga Tabung Haji akan menutup operasi empat hotel di bawah kumpulan itu mulai 1 April 2020.
Merujuk kepada surat bertarikh 17 Februari 2020 yang tular dalam media sosial, empat hotel tersebut adalah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar, TH Hotel Penang dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.
TH Hotel Kota Kinabalu. Kredit foto: TH Hotel
Seperti yang dijelaskan dalam surat itu, penutupan operasi dan perkhidmatan keempat-empat hotel tersebut adalah tidak dapat dielakkan.
"Operasi dan pengurusan hotel-hotel yang terlibat tersebut telah dan/atau akan diambil alih oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd.
"Bangunan hotel-hotel yang terlibat juga telah dipindah milik daripada Lembaga Tabung Haji kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd di bawah Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji," kata THHR.
TH Hotel & Convention Centre Alor Setar. Kredit foto: TH Hotel
Selain itu, kakitangan yang dikenal pasti sebagai berlebihan akan diberi tawaran skim penamatan pekerjaan (SSS).
THHR juga menyatakan bahawa syarikat telah mengambil langkah-langkah wajar berhubung perkara tersebut.
Pelaksanaan SSS tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat perkhidmatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Penutupan empat hotel THHR tersebut bakal meningkatkan jumlah rakyat yang hilang pekerjaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14. - CARI |