Lim Kit Siang dilihat berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Kredit foto: Facebook
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menafikan beliau merancang untuk melarikan diri ke luar negara berikutan pembubaran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari.
Desas-desus itu timbul apabila Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dikesan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang oleh orang ramai.
Gambar beliau sedang menunggu di lapangan terbang tersebut seterusnya ditularkan dalam media sosial dengan kapsyen seperti "Kit Siang di kesan berada di airport, mau lari ka...?" dan "Mohon standby di airport, tahan pemimpin DAP, PKR, PAN yang nak lari keluar negara - Azri".
Kit Siang menjelaskan, beliau sebenarnya sedang menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur pada 23 Februari bagi menghadiri kes seorang wakil rakyat DAP, P. Gunasekaran di mahkamah.
"Malah, tidak terlintas dalam fikiran mana-mana pemimpin DAP untuk melarikan diri dari Malaysia kerana kami bukan pencuri, perompak atau samseng.
"Tetapi (kami ialah) rakyat Malaysia yang mahu menyelamatkan Malaysia daripada terjunam dalam kancah negara gagal, tidak menghormati undang-undang dan kleptokratik," katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman blog Lim Kit Siang for Malaysia.
Gambar yang tular dalam media sosial. Kredit foto: Facebook
Beliau menambah, semua lelaki dan wanita dalam DAP mahu melakukan kebaikan terhadap semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau wilayah.
Kit Siang berkata, mereka menyertai politik kerana percaya bahawa bidang itu adalah jujur, dihormati dan mulia dalam usaha menjadikan Malaysia negara yang lebih baik untuk generasi akan datang.
"Ahli-ahli politik yang kotor dan bukannya politik, dan kami berpegang kepada kepercayaan ini," jelasnya.
Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya dijadikan 'lesen' untuk menyebarkan berita palsu tentang pihak lawan. - CARI |