KREDIT FOTO: http://hiddenandlittleknownplaces.blogspot.com
Anda pernah tengok kartun Madagascar? Kartun yang menggabungkan watak singa bernama Alex, kuda belang bernama Marty, zirafah bernama Melman dan badak air bernama Gloria pernah menjadi satu fenomena dalam industri Hollywood sebelum ini.
Malah, kita sedia tahu yang ada sebuah negara bernama Madagascar.
Kartun Madagascar
KREDIT FOTO: pinterest.com
Negara pulau di Lautan Hindi itu juga sangat unik, di mana 90 peratus hidupan liar di sini tidak dapat dijumpai di mana-mana kawasan lain di seluruh Bumi.
Anda tahu tak? Di Madagascar, ada sebuah taman negara yang sangat cantik yang diberi nama 'Taman Negara Tsingy de Bemaraha'.
Tsingy de Bemaraha
KREDIT FOTO: YouTube
Taman Negara Tsingy de Bemaraha terletak di rantau Melaky, bahagian barat laut Madagascar. Taman negara ini terbahagi kepada dua pembentukan geologi; Great Tsingy dan Little Tsingy.
Ia terkenal dengan kawasan hutannya. Bukanlah hutan yang biasa, tetapi hutan batu kapur. Ya, di kawasan Great Tsingy dan Little Tsingy, anda akan melihat pemandangan yang bukan sahaja cantik, tetapi agak pelik dengan pembentukan batu-batu kapur yang tajam dan tersusun. Batu-batu kapur yang tajam ini boleh mencapai ketinggian sehingga 300 kaki setiap satu.
Buat masa ini, Madagascar merupakan negara yang mempunyai hutan batu terbesar di dunia dan Tsingy de Bemaraha adalah taruhan negara ini untuk menarik kunjungan pelancong dari seluruh dunia.
Aktiviti hiking juga boleh dijalankan di sini, di mana dua trek hiking disediakan boleh digunakan untuk para pendaki, iaitu The Andamozavaky dan juga Ranotsara. Dua trek ini menjanjikan anda pemandangan penuh batu-batu kapur yang tajam di kawasan Tsingy ini.
Aktiviti hiking dijalankan di Tsingy de Memaraha
KREDIT FOTO: mensjournal.com
Tetapi, untuk menggunakan trek Ranotsara, anda perlu membawa bersama sebuah kanu kerana anda akan dibawa keluar dari hutan ini dan akan melalui sungai Manambolo.
Sungai Manambolo
KREDIT FOTO: The Manambolo River, medium.com
Tsingy de Bemaraha atau Tsingy juga terkenal kerana anda boleh melihat pelbagai spesis flora dan fauna yang terancam. Salah satu haiwan terancam yang anda boleh jumpa di sini adalah lemur dari spesis Primates (golongan mamalia eutheria seperti monyet, beruk dan manusia).
Lemur di Tsingy
KREDIT FOTO: tentree.com
Menurut NASA seperti dipetik curiosity.com, Tsingy mula terbentuk sekitar 200 juta tahun dahulu. Terdapat lapisan batu calcite di bawah sebuah lagoon membentuk lapisan tebal batu kapur. Kemudian, terdapat aktiviti semula jadi yang menaikkan paras ketinggian lapisan batu kapur ini. Paras air laut yang menurun semasa zaman ais Pleistocene membantu mendedahkan lebih banyak lapisan batu kapur ini.
Apabila air bawah tanah kering, lapisan sedimen yang sangat lama terhakis daripada hujan monsun. Jadi, bahagian batu kapur yang masih lembut akan terhakis keluar, meninggalkan bahagian yang lebih kukuh kekal berdiri.
Hujan monsun yang membentuk air bawah tanah baru, membawa pergi batu yang lembut. Maka terbentuklah deretan batu-batu kapur yang tajam. Di antara dirian batu-batu ini, terbentuk beberapa laluan kecil.
Laluan kecil di celah-celah batu kapur Tsingy
KREDIT FOTO: A Guide To Tsingy de Bemaraha | Madagascar, alifeofy.com
Anda juga boleh melihat dirian batu-batu kapur tajam yang berwarna merah berdekatan kawasan ini di Tsingy Rouge Park.
Tsingy Rouge Park
KREDIT FOTO: Madagascar tsingy rouge, flickr.com
Taman Negara Tsingy de Bemaraha dinamakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2003. - CARI |