Kredit foto: Google
Kalau disebut Perth,kebanyakan orang akan membayangkan destinasi pelancongan yang sangat popular untuk rakyat Malaysia. Kings Park, bandar bersejarah Fremantle, ladang anggur Swan Valley, bukit pasir Lancelin, pantai Cottlesloe dan batu unik di Pinnacles antara tempat yang wajib dilawati apabila melancong ke sini.
Perth terletak di bahagian barat Australia dan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth memakan masa lebih kurang 6 jam. Terdapat sekurang kurangnya dua penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth setiap hari dan harga tiket penerbangan juga berpatutan berbanding destinasi bandar besar lain di Australia.
Fremantle Prison Torchlight Tour. Kredit foto: Ghost Tour Bookings
Selain itu, Perth juga menawarkan pengalaman unik bagi mereka yang berminat dengan dunia misteri dan hantu. Bagi yang mencari pengalaman yang lain daripada yang lain, boleh menempah tempat untuk mengikuti lawatan mencari hantu (ghost tour) dengan orang perseorangan atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini. Antaranya Fremantle Prison (Torchlight Tour), Fremantle Ghostly Tour with Dinner, City of Gosnells Ghost Walks, Midland Town Hall Ghost Tour dan banyak lagi.
Harga untuk seorang adalah serendah AU$25/RM70 hingga AU$90/RM250. Kalau rasa terlalu mahal, jangan risau. Kita boleh pergi sendiri melawat ke tempat tempat bersejarah ini tanpa mengambil 'tour'.
1. Fremantle
Fremantle adalah bandar paling tua di Western Australia. Jika memandu dari Perth, anda akan mengambil masa lebih kurang 35 minit untuk sampai ke Fremantle. Penempatan pertama yang dibina di sini adalah pada tahun 1829 dan bangunan pertama (the Round House) siap dibina pada tahun 1831 dan masih wujud sehingga hari ini. Bayangkan sejarah bandar ini yang hampir 200 tahun, tak hairan jika perkhidmatan 'Ghost Tour' di Perth kebanyakan diadakan di Fremantle. Daripada Fremantle Prison (dibuka tahun 1855), Fremantle Arts Centre, The Roundhouse hingga the Shipwreck Galleries, Fremantle memang penuh dengan hantu!
Fremantle Prison Torchlight Tour diadakan setiap malam Rabu dan Jumaat pada setiap minggu dan sudah ramai pelawat yang terserempak dengan hantu ketika mengikuti lawatan ini. Penjara Fremantle pernah menempatkan penjenayah yang terdiri daripada pembunuh dan perompak selama 140 tahun sehingga ia ditutup pada tahun 1991 dan dibuka kepada pelawat.
Sejumlah 44 orang penjenayah telah dihukum gantung di penjara Fremantle dan cuma seorang daripadanya ialah wanita bernama Martha Rendell. Martha Rendell telah dihukum gantung kerana membunuh 3 orang anaknya sendiri. Dikatakan bahawa hantu Martha Rendell adakalanya muncul di tingkap gereja yang terdapat di penjara ini. Salah satu sejarah yang menarik di penjara ini ialah, orang pertama yang dihukum gantung sampai mati merupakan seorang Melayu yang berasal dari Pulau Pinang. Dia dikenali sebagai Jimmy Long (long kerana fizikal tinggi) dan dihukum gantung kerana membunuh majikan pada tahun 1889.
Fremantle Arts Centre pula pernah menjadi penempatan orang gila (lunatic asylum). Bangunan ini dikatakan antara tempat paling berhantu di seluruh Australia. Ramai pelawat terjumpa penampakan manusia berpakaian seperti orang dahulu berjalan di keliling bangunan, mendengar suara ghaib dan rasa disentuh sedangkan tiada orang berdekatan serta melihat lampu pelita bergerak dari satu bilik ke satu bilik pada waktu malam.
Fremantle Arts Centre. Kredit foto: Destination Perth
2. Hotel Kalamunda
Penduduk yang tinggal di Kalamunda yang tau mengenai reputasi hotel ini, sering mengelak dari berjalan berdekatan Hotel Kalamunda pada waktu malam. Dibina pada tahun 1902, terdapat beberapa tragedi yang berlaku di hotel ini. Salah satunya ialah tragedi bunuh diri oleh tuan asal hotel iaitu Paddy Conelly. Dia terjun daripada balkoni hotel setelah kecewa dan malu kerana telah mengandungkan seorang gadis remaja. Pada masa itu, mempunyai anak luar nikah adalah satu kesalahan dan boleh didakwa. Jadi Paddy membuat keputusan untuk membunuh diri.
Selain Paddy, Hotel Kalamunda juga dikatakan mempunyai beberapa hantu lain seperti hantu gadis muda yang berjalan sekitar hotel sambil memegang patung rag doll besar yang menyeramkan, seorang hantu lelaki tua yang sentiasa kelihatan marah dan mempunyai misai melentik ke atas (handlebar moustache) seperi misai orang dahulu, seorang hantu wanita jelita yang berpakaian gaun labuh zaman Victoria dan hantu lelaki yang suka berdiri di balik bayang/tempat redup sekitar Hotel.
Menyeramkan bukan? Apa kata anda bermalam sehari dua di Kalamunda Hotel untuk mengalami sendiri pengalaman berjumpa dengan hantu di hotel ini.
Hotel Kalamunda. Kredit foto: Weekend Notes
3. Hotel Rose and Crown Hotel, Guildford
Hotel Rose and Crown yang terletak di Guildford ini adalah hotel tertua di Perth. Salah satu hantu yang terkenal di hotel ini dikenali sebagai Charlie. Charlie adalah antara pemilik terawal hotel Rose and Crown. Sewaktu hayatnya, Charlie telah membunuh isterinya yang telah berlaku curang. Setelah menangkap isteri dan teman lelaki di salah satu bilik di tingkat atas, Charlie dikatakan mengheret dan menolak isterinya di tangga hingga mati.
Charlie kemudian menyesal dan dikatakan hantunya sering muncul di hotel ini, berjalan mencari isterinya. Selain Charlie, pekerja hotel juga sering terjumpa dengan hantu seorang gadis di atas kerusi hayun di tempat meletak arak di bilik bawah tanah hotel ini. Menurut pemilik hotel, Mark Weber, dia juga ada terserempak dengan hantu lelaki tanpa kaki, masuk ke dalam selepas hotel tutup. Puas dia mencari tetapi tidak berjumpa sesiapa dan teringat bahawa susuk manusia yang dia jumpa itu tiada kaki!
Fakta Menarik di Menu Restoran Hotel Rose & Crown. Kredit foto: Instagram Peribadi Penulis
4. Rumah Ladang Oakabella (Oakabella Homestead)
Rumah Ladang Oakabella dibina pada tahun 1851 dan terletak di tengah antara Northampton dan Geraldton. Ia mempunyai 13 rumah ladang yang boleh disewa bagi merasai sendiri suasana bermalam di ladang. Tempat ini dilengkapi dengan 2 bangsal, tea room, kedai cenderamata dan juga tapak perkemahan. Disebabkan terlalu banyak activiti paranormal yang berlaku di sini, rumah ladang Oakabella dikatakan sebagai rumah paling berhantu di Western Australia. Salah satu hantu yang sering kelihatan di sini ialah si kecil William yang mati di sini kerana demam panas. Hantu yang dikatakan paling aktif di rumah ladang Oakabella ialah George Jackson yang meninggal pada tahun 1973 selepas tertembak diri sendiri ketika membersihkan pistol kepunyaannya.
Rumah Ladang Oakabella. Kredit foto: Domain Australia
Selain daripada bangunan yang telah disebut ini, ada banyak lagi tempat dan bangunan berhantu di Perth, Western Australia yang boleh dilawat bagi mereka yang mencari pengalaman unik seperti Hospital Old York, Penjara Albany, The Alkimos Shipwreck dan Hotel Leederville. Kebanyakan tempat ini dibuka kepada pelawat di waktu siang tetapi jika ingin merasai suasana malam yang menyeramkan, disarankan menempah 'Ghost Tour' yang banyak ditawarkan pada waktu malam di sekitar Perth.- CARI |