Suasana kecoh di pekarangan pejabat Paul Yong. Kredit foto: Facebook
Kekecohan tercetus di pekarangan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong pada 11 Mac apabila sekumpulan penyokong DAP mendesak beliau meletak jawatan selepas menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) di Perak.
Mereka berhimpun sambil melaungkan gelaran 'pengkhianat' terhadap Paul Yong kerana tindakannya itu menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu runtuh.
Memetik laporan Sinar Harian, walaupun penyokong Paul Yong turut berhimpun di lokasi sama, polis berjaya mengawal keadaan dan tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
Penyokong tegar DAP menuduh Paul Yong sebagai pengkhianat. Kredit foto: Facebook
Ketua DAP Cawangan Menglembu Timur, Danny Ooi yang turut menyertai perhimpunan tersebut mempersoalkan tindakan Paul Yong menyertai PN.
"Awak dari DAP. Tanpa DAP, tanpa Harapan (PH), siapa Paul Yong? Siapa kenal Paul Yong?
"Awak menang sebab parti, tapi dia dah lupa siapa itu parti. Dia ingat dia raja, dia ingat cash is king.
"Tak, kita memang nak berjuang untuk rakyat, bukan untuk jawatan," katanya.
Paul Yong mencetuskan kontroversi tahun lalu apabila berdepan tuduhan merogol amah warga Indonesia di mahkamah.
DAP juga telah memecat Paul Yong serta dua lagi wakil rakyat daripada parti itu, ADUN Pengkalan Batu, Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Buntong, A. Sivasubramaniam. - CARI |