Terbaru mengenai acara himpunan tabligh, Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Indonesia, dilaporkan seorang peserta program itu dirujuk ke Hospital Haji Makassar di Sulawesi Selatan kerana mengalami gejala demam panas.
Difahamkan, lelaki itu merupakan warga tempatan yang berasal dari Nusa Tenggara Timur.
"Sehingga sekarang belum ada laporan ada peserta Ijtima Dunia 2020 menjadi suspek Covid-19.
Kredit foto: Sinar Harian
"Tapi Pengarah Pejabat Kesihatan Daerah memaklumkan terdapat peserta himpunan yang mengalami demam panas. Pesakit terbabit telah dirujuk ke hospital dan dalam pemantauan rapi," kata Gebenor Sulawesi Selatan, Nurdin Abdullah, Sinar Harian melaporkan.
Selain itu, Nurdin memaklumkan seramai 411 warga asing yang terlibat dalam perhimpunan itu akan dikuarantin sebelum dibenarkan pulang ke negara masing-masing.
"Seramai 411 orang daripada enam negara diarah menjalani kuarantin selama 14 hari.
"Selepas tempoh itu, mereka akan dihantar ke pelabuhan atau lapangan terbang untuk pulang ke negara masing-masing.
"Bagi peserta tempatan pula, mereka turut dikuarantin di Asrama Haji dan segala keperluan akan disediakan," katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan program yang dianjurkan berdekatan bandar Makassar itu dihadiri 10,000 peserta. - CARI |