Berada di Pakistan pada masa ini ibarat berada di bandar mati.
Itu yang diluahkan oleh rakyat Malaysia, Samsinah Samsudin, 40 yang terkandas di Pakistan susulan perintah berkurung di negara itu pada masa ini.
Memetik laporan Harian Metro, Samsinah bersama 9 rakan yang lain tiba negara berkenaan pada 15 Mac lalu.
“Saya sempat mengembara di beberapa lokasi tumpuan di Pakistan antaranya Swat Valley dan Hunza namun kebanyakan tempat ditutup kepada orang ramai.
Kredit foto: Harian Metro
“Keadaan di sana tidak ubah seperti bandar mati kerana kebanyakan kedai, hotel dan restoran sudah ditutup. Jalan pula lengang dengan sekatan jalan raya yang banyak dilakukan pihak berkuasa.
“Sebelum itu tiada larangan untuk pelancong asing datang ke Pakistan namun sebaik kami tiba, larangan itu dikuatkuasakan,” katanya.
Menurut Samsinah lagi mereka dibantu rakyat tempatan untuk mencari hotel bajet sementara menunggu kenderaan untuk pulang ke Islamabad.
Namun, hotel tersebut diserbu pihak berkuasa kerana masih menerima tetamu pada waktu ini sedangkan katanya dia tidak mempunyai pilihan lain.
“Kini ada beberapa rakan yang sudah berjaya pulang ke Malaysia dengan pesawat komersial namun harga tiket yang dikenakan sangat tinggi.
“Saya berharap kerajaan dapat membawa kami pulang sama seperti rakyat Malaysia di Iran, India dan China,” katanya.
Difahamkan terdapat 40 orang lagi rakyat Malaysia yang masih berada di Pakistan dan usaha membawa mereka pulang sedang giat dilakukan. - CARI |