Kisah bekas pesakit Covid-19, Adnan Faisal mendapat perhatian di kalangan netizen.
Ini kerana dia bukan sahaja sudah sembuh dan discaj dari hospital, malah kisahnya selama lapan hari berada di wad Hospital Kuala Lumpur begitu memberi kesan yang tersendiri.
Memetik laporan Sinar Harian, Adnan berkata sepanjang berada dalam wad, banyak perkara positif yang dipelajari.
Antaranya apabila dia ditempatkan bersama pesakit dari kluster tabligh.
Kredit foto: Harian Metro
"Walaupun dalam keadaan sakit, kami masih dapat bersolat jemaah bersama dalam jarak dibenarkan.
"Saya jadi rindu dengan keadaan di wad pada masa itu di mana masing-masing mengharapkan ALLAH untuk sembuh..Rasa lebih dekat," katanya.
Orang ramai juga ingin tahu apakah amalan yang dilakukan oleh Adnan sehingga disahkan sihat dan bebas dari virus berkenaan.
"Selain berdoa dan solat, saya juga mengamalkan penjagaan kesihatan untuk terus kekal sihat dan positif dengan bersenam, makan vitamin C serta minum air lemon yang disediakan keluarga sepanjang berada di wad," ujarnya.
Bercakap tentang gejala yang dialaminya, Adnan mendapat semua simptom seperti demam panas, pening kepala, sakit perit dan sesak nafas ketika kuarantin di rumah lagi.
"Jadi bila masuk hospital keadaan semakin baik dan doktor pun tidak berikan ubat kerana saya tiada simptom...Hanya pemeriksaan rutin cek suhu badan dan tekanan darah selain menunggu keputusan laporan kesihatan saya negatif.
Foto: Sinar Harian
"Disebabkan itu, fikiran saya lebih tenang dan positif, cuma lebih bimbangkan keadaan ibu yang turut ditahan wad kerana positif Covid-19 serta isteri yang sedang hamil lima bulan.
"Saya sedih juga tak dapat jumpa ibu. Hanya boleh bercakap melalui telefon. tapi tak boleh lihat keadaannya. Begitu juga dengan isteri tak dapat jumpa tapi syukur dia negatif Covid-19," katanya. - CARI |