Pada waktu ramai mencari kit ujian pantas Covid-19, ada pula pihak yang mengambil kesempatan dengan menjual peralatan itu tanpa kelulusan KKM.
Memetik laporan Harian Metro, hal tersebut dapat dilihat menerusi beberapa iklan di laman sosial yang menawarkan orang ramai kit ujian pantas Covid-19 dengan harga RM99 lebih murah daripada bayaran yang dikenakan hospital swasta.
Malah, iklan itu mendakwa dapat memberikan keputusan seawal 3 minit berbanding beberapa jam mengikut prosedur operasi standard (SOP) KKM.
Kredit foto: Harian Metro
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mengesahkan hal itu berkata, buat masa ini tiada kit ujian Covid-19 yang dibenar dijual secara terbuka kepada orang ramai.
“Setakat ini tidak ada yang boleh digunakan untuk pengesanan (Covid-19) kerana tiada kelulusan untuk diagnosis,” katanya.
Beliau juga mengingatkan orang ramai berwaspada dengan tawaran kit ujian pantas yang dijual di laman sosial itu.
Menerusi laman sosial, dapat dilihat para pengguna berminat mengetahui keberkesanan alat tersebut yangg dipercayai dari China.
Malah, ada dakwaan yang mengatakan masih tiada data sahih dan bukti yang menunjukkan keberkesanan alat tersebut. - CARI |