Gambar hiasan
Kredit foto: bgr.com
Seorang nelayan warga Thailand yang terkandas di Malaysia selama kira-kira tiga minggu nekad berenang untuk pulang ke negara asal.
Sebelum itu, dia terkandas di negara ini berikutan penutupan pusat pemeriksaan imigresen di sempadan Malaysia-Thailand sejak 23 Mac lalu.
Menurut Bernama, Inspektor Polis Marin Satun, Leftenan Kolonel Banjerd Manavej berkata, sebelum berenang, lelaki berusia 45 tahun itu berjalan kaki selama dua hari ke sebuah terusan selebar kira-kira 100 meter yang terletak di sempadan Perlis - Satun.
Kredit foto: My Info Kini
"Dia yang berasal dari Pinam, Muang yang terletak di Satun, selatan Thailand nekad berenang untuk menyeberangi terusan tersebut.
"Begitupun, arus deras telah menghanyutkan lelaki berkenaan jauh ke laut sebelum diselamatkan Polis Marin Thailand di pantai Puyu subdaerah Satun," katanya ketika dihubungi Bernama.
Banjerd Manavej berkata, sewaktu ditemui, nelayan terbabit berada dalam keadaan kepenatan namun gembira melihat kelibat anggota polis dan penduduk kampung.
Tambahnya, lelaki itu kemudiannya dibawa ke hospital terdekat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, seterusnya dikurantin selama 14 hari.
Kredit foto: The Star
"Sewaktu ditanya, nelayan itu memberitahu dia nekad berenang pulang ke negara asal kerana terlalu rindu pada keluarga. Pada masa sama, dia juga tidak pasti tarikh tepat pusat pemeriksaan imigresen di sempadan kedua-dua negara akan dibuka semula," katanya. - CARI |