Seorang bapuk mabuk bukan saja menghalang dan mencederakan petugas kesihatan, malah dia turut memecahkan cermin ambulans milik Hospital Umum Sarawak (HUS) pada Sabtu.
Memetik Harian Metro, kejadian berlaku jam 6.20 petang di hadapan sebuah bank di Satok, Kuching.
Kredit foto: Youtube/Borneo Post
Kata Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani, ketika kejadian, ambulans berkenaan dalam perjalanan ke Kampung Lintang untuk menangani satu kes kecemasan.
Bagaimanapun, tugas mereka terhalang sebaik tiba di Jalan Kulas apabila ditahan seorang pondan yang mendepakan tangan di tengah jalan.
“Pemandu ambulans terpaksa memperlahankan kenderaan dan tiba-tiba terdengar bunyi cermin bahagian penumpang di belakang pecah sambil pondan terbabit menjerit-menjerit sendirian tanpa diketahui sebabnya.
“Apabila mangsa cuba membawanya ke tepi jalan, dia bertindak agresif dan menyerang mangsa dengan menarik baju peralatan perlindungan diri (PPE) hingga terkoyak.
“Akibat pergelutan itu, mangsa juga mengalami cedera sebelum suspek beredar,” katanya.
Berikutan kejadian, polis menahan suspek berusia 19 tahun yang bekerja di sebuah pasar raya kira-kira 10.30 malam pada hari sama di Satok.
Suspek direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323/427/187 Kanun Keseksaan. - CARI |