Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad amat malu dengan sikap orang Melayu yang percaya DAP akan menghancurkan mereka jika parti itu berada dalam kerajaan.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu berkata, rupa-rupanya ada orang Melayu yang takut dengan DAP sehingga sanggup mengkhianati rakyat yang memberi mandat kepada mereka.
"DAP tidak mungkin hancur Melayu, tetapi mereka akan hancur kerana orang Melayu memilih penyangak sebagai pemimpin," katanya melalui kenyataan dalam laman Facebook miliknya.
Beliau turut menuduh UMNO memomokkan orang Melayu sehingga menyebabkan mereka takut kepada DAP.
Gambar hiasan. Kredit foto: Media Presiden PAS
Sebagai perbandingan, Dr Mahathir mengimbau kembali keberanian orang Melayu melawan British, kuasa-kuasa besar, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia.
Namun sekarang, kata beliau orang Melayu takut kepada DAP dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.
"Takut kepada Guan Eng. Orang Melayu takut kepada Guan Eng," jelasnya.
Dr Mahathir turut menyindir pemuda-pemuda Melayu yang menyokong dan mencari perlindungan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta menyifatkan mereka sebagai bacul.
Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, sebaik-baiknya pemimpin-pemimpin politik Melayu berdamai dan mencari jalan untuk menyatupadukan semula orang Melayu. - CARI |