Pemain bola sepak Turki mengaku membunuh anak bongsunya berusia lima tahun kerana 'tidak lagi menyayangi' kanak-kanak lelaki itu.
Kredit foto: The Irish Sun/Golder’s News & Sport Ltd.
The Irish Sun melaporkan, Cevher Toktas, 32, yang bermain untuk Liga Super Turki antara 2007 dan 2009 dikatakan membawa mangsa ke hospital pada 23 April lalu kerana mengalami demam panas dan kesukaran bernafas.
Difahamkan, dua beranak itu kemudian dikuarantin di hospital berkenaan kerana doktor bimbang mangsa disyaki positif Covid-19.
Kredit foto: The Irish Sun/Golder’s News & Sport Ltd.
Kasim kemudian dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas Toktas mendakwa anaknya semakin sukar bernafas sebelum dia disahkan meninggal dunia dua jam kemudian di Hospital Kanak-kanak Dortcelik di Bursa, Turki.
Pihak berkuasa tidak mengesyaki sebarang motif jenayah memandangkan kesukaran bernafas merupakan gejala biasa di kalangan pesakit.
Malah, orang ramai dan ahli keluarga yang menghadiri pengebumian Kasim percaya bahawa mangsa meninggal dunia akibat jangkitan wabak maut itu.
Bagaimanapun, 10 hari selepas pengebumian Kasim, Toktas tampil di balai polis dan membuat pengakuan dia menekup muka anaknya dengan bantal di hospital berkenaan.
Kredit foto: The Irish Sun/Golder’s News & Sport Ltd.
Ketika disoal siasat, Toktas mengaku membunuh anaknya kerana dia tidak pernah menyayanginya sejak mangsa dilahirkan dan bertegas bahawa dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan mental.
Pihak berkuasa tempatan dilaporkan mahu menggali semula kubur mangsa untuk melakukan bedah siasat dan Toktas mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup. - CARI |