Seorang lelaki ditahan selepas melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak berusia 10 tahun yang dikenalinya menerusi aplikasi TikTok.
Menurut akhbar tempatan Sankei Shimbun yang dipetik Japan Today, Tatsuhiro Sawada, 34, dari bandar Fuchu di Tokyo didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh itu di sebuah hotel di Bandar Machida pada 30 Ogos lalu.
Kredit foto: Gambar hiasan
Ketika disoal, Sawada mengakui bahawa dia mengumpan budak perempuan itu ke sebuah kedai di Machida sebelum membawanya ke sebuah hotel dan melakukan perbuatan keji terbabit termasuk mencium dan memeluk mangsa.
Difahamkan, mangsa berada dengan suspek selama lebih kurang dua jam sebelum dia dibebaskan.
Menurut laporan polis, sebelum kejadian, mereka sudah beberapa kali bertemu sejak suspek mula menghubungi mangsa menerusi TikTok pada Jun lalu.
Sepanjang perkenalan mereka, mangsa beberapa kali dicium suspek membuatkan kanak-kanak itu tidak selesa dan enggan bertemu dengannya lagi.
Namun, suspek mengugutnya dengan mendakwa dia tahu di mana mangsa tinggal dan berkata, "Saya akan mati di hadapan rumah kamu".
Hasil semakan mendapati, Sawada diletakkan di bawah percubaan selepas didapati bersalah melakukan persetubuhan dengan murid sekolah rendah yang dikenalinya menerusi laman mencari jodoh. - CARI |