Vaksin dibangunkan Sinovac Biotech China didapati hanya 50.4 peratus berkesan untuk mencegah jangkitan simptom COVID-19 berdasarkan data daripada ujian di Brazil.
Penyelidik pada Selasa mengatakan, peratusan itu masih tidak menepati syarat ditetapkan, malah jauh daripada peratusan diumumkan minggu lepas, lapor Al Jazeera.
Kredit foto: The Financial Express
Keputusan terbaru itu merupakan kekecewaan besar kepada Brazil kerana vaksin dari China itu adalah salah satu vaksin diperjuangkan kerajaan yang kini masih lagi bergelut menangani pandemik COVID-19.
Beberapa saintis dan pemerhati mengkritik Butantan Institute kerana mengeluarkan sebahagian data beberapa hari lalu sekali gus melahirkan harapan yang tidak begitu realistik.
Kekeliruan yang tercetus menambah keraguan rakyat Brazil terhadap vaksin dari China itu yang sebelum ini dikritik Presiden Jair Bolsonaro yang mempersoalkan ‘asal-usul’ vaksin berkenaan.
Minggu lepas, penyelidik Brazil meraikan keberkesanan vaksin tersebut yang merekodkan kadar 78 peratus terhadap kes COVID-19 tahap ringan hingga teruk.
Berdasarkan keputusan itu, mereka menggambarkan ia sebagai “keberkesanan klinikal”.
Begitupun, mereka tidak mengeluarkan sebarang komen berkenaan jangkitan kepada mereka yang telah menerima vaksin namun mereka yang dijangkiti tidak memerlukan bantuan klinikal.
Untuk rekod, vaksin lain termasuk COVID-19 dari Pfizer dan Moderna terbukti sekitar 95 peratus berkesan dan angka itu jauh mengatasi vaksin dicuba di Brazil itu.
Data terbaru itu ternyata mengecewakan rakyat Brazil dimana lebih 200,000 orang meninggal dunia di negara itu sejak diserang wabak berkenaan.
Program imunisasi nasional Brazil pada masa ini bergantung pada vaksin dari China dan tusukan yang dikembangkan oleh Universiti Oxford dan AstraZeneca.
Sumber: Awani |