|
KUCHING: "Tuhan belum mengambil (cabut) nyawa saya, kalau tidak saya akan mati ditimbus tanah semasa terbaring di atas tilam semasa menonton televisyen," cerita Nona Budis di Kampung Gerung, Jalan Puncak Borneo.
Rumah didiami wanita berumur 63 tahun itu ditimbus tanah runtuh pada kira-kira pukul 8:30 malam, 12 Januari lepas, ketika beliau menonton televisten di ruang tamu. Dinding rumahnya roboh.
Mujur anaknya yang tinggal berdekatan, sempat meluru masuk rumah lalu menarik tangannya keluar untuk menyelamat, jelas Nona ketika ditemui, hari ini.
"Mula-mula ingatkan bunyi daun atau hujan lebat di atas bumbung rumah bunyi berdentum. Tiba-tiba anak saya masuk dan menarik tangan saya agar keluar (menyelamatkan diri). Bila kami berada di atas jalan, saya nampak lampu rumah terpadam," katanya yang tinggal sendirian sejak kematian suaminya pada 2005.
Ruang tamu Nona ditimbus tanah setinggi kira-kira 1.2 meter.
Tanah bukit di belakang rumahnya itu ditanam dengan beberapa pokok buah tempatan dan 200 tiang lada sebagai sumber pendapatannya selama 30 tahun kebelakangan ini.
Beliau menyara kehidupan dengan menanam dan menjual sayur di kampung selepas semua anak-anaknya mendirikan rumah tangga masing-masing.
Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil berkata sehingga semalam 39 kes tanah runtuh dilaporkan di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.
Dua darinya melibatkan runtuhan di jalan raya utama.
"Justeru itu kami meletakkan banyak usaha dan kes di kediaman Nona adalah yang paling buruk setakat ini kerana ruang tamu rumah beliau runtuh dan kini beliau tinggal bersama anaknya.
"Kami sudah menjalankan kerja pembersihan tanah dibantu oleh seorang kontraktor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempercapatkan kerja dan diteruskan dengan kerja baik pulih," katanya ketika berkunjung ke kampung berkenaan.
Kerja-kerja pembersihan dan baik pulih dijalankan sejak Jumaat.
Henrietta Liza
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|