CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 890|Reply: 0

[SABAH] Perjuangan Harian Keluarga Di Sabah Daki Bukit Untuk Belajar Dalam Talia

[Copy link]
Post time 25-1-2021 04:00 PM | Show all posts |Read mode

Sharifah Sharizah menjaga Nur Qairah sementara anak-anak lain membuat kerja sekolah di atas sebuah batu besar di mana sambungan internet paling kuat di Kampung Panikuan, Kudat.


FMT

Durie Rainer Fong

KOTA KINABALU: Daun kelapa sawit sebagai tempat berteduh daripada sinaran matahari, batu besar sebagai meja dan rumput yang panjang sebagai dinding – selama setahun, inilah ‘bilik darjah’ tiga anak kecil di sebuah kampung pedalaman di Kudat, daerah paling utara di Sabah.

Walau apapun yang terjadi, Sharifah Sharizah tetap membawa anak-anak itu mendaki ke puncak bukit kira-kira 5km dari rumah mereka, supaya dapat mengikuti kelas dalam talian.

Isyarat internet hampir tidak ada di Kampung Panikuan yang terletak di mukim Matunggong di Kudat.

Perkampungan itu hanya dapat diakses melalui jalan tanah, melalui beberapa bukit serta ladang kelapa sawit dan ladang getah, 15 minit perjalanan dari jalan utama.

“Ada beberapa tempat lain yang tersedia internet, tetapi isyarat paling kuat di bukit itu,” kata Sharizah kepada FMT.


Sharifah Sharizah membimbing anak-anak menyiapkan kerja sekolah.


Ketika anak-anaknya – Mohd Aiman Qusairey Mohd Laison, 10, dan Nur Qaireen Mohd Laison, 8 – dan anak saudaranya Mohd Amirul Zalizan, 12, mengikuti pelajaran mereka, anak bongsunya, Nur Qairah, 2, turut menemani mereka.

Tiada sesiapa yang boleh menjaganya ketika Sharizah tiada di rumah. Suami Sharizah bekerja di daerah Kota Marudu yang berdekatan.

“Kami pergi ke bukit supaya mereka dapat mengikuti kelas di bawah program pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian pada setiap hari persekolahan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu.

“Ia (mengambil masa) 20 hingga 30 minit berjalan kaki, bergantung (kepada keadaan), jadi kami harus mulakan (perjalanan) lebih awal kerana kelas mereka bermula pada pukul 7.20 pagi,” katanya, sambil menambah, beberapa guru memberi sedikit kelonggaran setelah mengetahui masalah mereka.


Sharifah Sharizah dan anak-anak mendaki bukit untuk ke satu lokasi terpencil supaya mereka dapat mengikuti kelas dalam talian.


“Sangat menyedihkan melihat mereka belajar dalam keadaan ini, tetapi tidak banyak yang dapat kami lakukan sehingga pihak berkuasa memperbaiki sambungan (internet) di sini.”

Sebilangan ibu bapa lain juga membawa anak-anak mereka ke bukit yang sama, tetapi tidak sekerap Sharizah dan anak-anak itu.

Ada harinya mereka boleh menaiki kereta untuk ke lokasi tersebut, sekali gus mengurangkan masa perjalanan.


Anak-anak mendaki bukit melalui jalan tanah.


Tetapi pada hari-hari hujan, jalan ke bukit tersebut menjadi berlumpur, menyukarkan kenderaan lebih kecil melaluinya.

“Sekiranya ini berlaku, kami harus pergi ke lokasi lain (yang terletak) tidak terlalu jauh, di mana terdapat isyarat internet, tetapi talian asyik terputus,” kata Sharizah.

“Kami tidak akan pergi pada hari-hari hujan lebat, tetapi beberapa guru meminta murid-murid menghantar kerja rumah pada hari tertentu jadi kami masih perlu keluar dan bergegas kembali kerana saya tidak mahu Qairah jatuh sakit.”


Jalan tanah mendaki bukit menjadi berlumpur setelah hujan lebat.


Tambahnya, anak-anak itu menggunakan aplikasi WhatsApp dan Signal untuk menghantar kerja mereka ke sekolah.

Keluarga itu hanya mampu membeli satu telefon bimbit untuk dikongsi antara anak-anak, katanya.

Baru-baru ini, Amirul menerima sebuah telefon daripada keluarganya, jadi keadaan lebih baik sedikit daripada sebelumnya, yang menyaksikan ketiga-tiga anak itu berkongsi satu peranti.

“Mereka bergilir-gilir menggunakan telefon walaupun kelas bermula pada waktu yang sama iaitu pukul 7.20 pagi.

“Jadi Aiman akan menggunakan telefon terlebih dahulu diikuti oleh Qaireen dan kemudian Amirul.

“Nasib baik para guru memahami keadaan kami dan memberi masa untuk kelas masing-masing.

“Guru juga menghadapi masalah sambungan kerana mereka sendiri tinggal di tempat terpencil,” katanya.

Untuk membantu anak-anak itu menghabiskan masa ketika tidak menggunakan telefon, Sharizah membawa makanan yang dimasak sambil berusaha sebaik mungkin untuk membimbing mereka dalam kerja yang diberikan guru.

Pada setiap hari persekolahan, mereka berada di bukit tersebut sehingga sekurang-kurangnya pukul 12.30 tengah hari.

Orang lain yang mengalami kesukaran yang sama mungkin akan berasa putus asa dan kecewa, tetapi Sharizah cekal.

Malah beliau lebih tekad agar anak-anaknya memiliki masa depan yang cerah.

“Anak lelaki saya (Aiman) selalu menyuarakan kekecewaannya atas segalanya tetapi saya selalu berkata kepadanya, Qaireen dan Amirul bahawa ada hikmah di sebalik segala yang terjadi dan mereka harus terus bekerja keras.

“Saya tidak marah dengan situasi kami, tetapi satu-satunya permintaan saya kepada pihak berkuasa adalah agar menyediakan kemudahan internet di kampung kami, bukan hanya untuk anak-anak saya, tetapi juga yang lain,” katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-11-2024 04:39 PM GMT+8 , Processed in 0.064297 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list