INDONESIA - Harga pasaran telur ayam yang jatuh merudum di negara jiran kita semenjak pandemik COVID-19 melanda dunia menyebabkan ramai penternak dan peniaga telur ayam mengalami kerugian besar.
Oleh kerana sangat kecewa dengan penurunan harga telur yang mendadak membuatkan seorang peniaga hilang sabar dan bertindak membuang semua telur ayam miliknya ke dalam semak.
Memetik Merdeka.com, video kejadian yang berlaku di Magetan, Jawa Timur itu dipercayai berlaku kerana peniaga itu terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk bekalan makanan ayam tetapi sebaliknya tidak mendapat hasil setimpal dengan modal yang telah dikeluarkan.
Ketika kejadian, orang ramai yang berada disekitar itu cuba menasihati lelaki terbabit agar tidak membuang telur-telur itu tetapi langsung tidak diendahkannya. Malah, dia terus membuang semua telur yang diambil dari kenderaannya.
" Saya tidak mahu tahu, orang menawar dengan harga murah, sudah tak peduli, sudah buang semua," tegas lelaki itu.
Tindakan lelaki itu yang terlalu mengikut perasaan dan disifatkan sebagai membazir membuatkan dia menerima kecaman dari warganet yang menonton video terbabit.
Warganet berpendapat, dalam situasi dilanda pandemik COVID-19, bencana-bencana alam seperti gempa bumi dan banjir seharusnya kita lebih berjimat cermat dan saling membantu sesama kita kerana ramai yang masih kelaparan akibat kehilangan sumber pendapatan.
Alangkah lebih baik jika telur-telur tersebut dijual walaupun dengan harga murah atau dermakan sahaja kepada yang amat memerlukan. - CARI
|