Beregu negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi pamer prestasi baik. FOTO File NSTP
Harian Metro
Aida Adilah Mat
[email protected]
Kuala Lumpur: Semangat juang tinggi dan terus mengejar biarpun ketinggalan 19-12 di set kedua, membantu menghidupkan kembali peluang beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir di Bangkok, Thailand hari ini.
Turun pada aksi kedua peringkat kumpulan A, Ee Yi-Yew Sin mempamerkan aksi mengagumkan untuk melakarkan kemenangan straight set 21-19, 21-18 ke atas beregu England, Marcus Ellis-Chris Langridge.
Kemenangan itu kembali mencerahkan peluang beregu negara yang kini berada di ranking ke-15 dunia ke separuh akhir selepas tewas perlawanan pertama kepada pilihan pertama dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin semalam. Bagi Yew Sin, dia berpuas hati dengan aksi hari ini biarpun mengakui melakukan kesilapan mudah yang memberikan mata kepada lawan untuk mendahului dengan selesa.
Mujur kombinasi dan pertahanan yang mantap bersama Ee Yi membantu mereka untuk kembali menguasai gelanggang seterusnya melakarkan kemenangan.
Menanti mereka pada perlawanan seterusnya adalah pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy.
Sementara itu, beregu nombor satu negara negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas aksi kedua Kumpulan B kepada pasangan dari Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 19-21 16-21.
Aaron-Wooi Yik akan menentang jaguh Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dalam perhitungan terakhir peringkat kumpulan, esok. |