Hotel Equatorial di Pulau Pinang ialah yang terbaru mengumumkan penutupan menjelang akhir Mac ini. (Gambar Facebook)
FMT
GEORGE TOWN: Masa depan industri perhotelan di Pulau Pinang kelihatan suram selepas sembilan hotel gulung tikar dan 21 lagi ditutup sementara sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Pulau Pinang, Raj Kumar berkata, industri perhotelan secara keseluruhan “teruk terjejas” oleh pandemik itu, dengan kadar penginapan hanya mencatat satu digit sejak awal PKP 2.0.
Beliau menggesa kerajaan melanjutkan subsidi upah sebanyak 50% untuk kakitangan berpendapatan RM4,000 ke bawah dan 40% bagi mereka yang berpendapatan RM8,000 dan ke atas.
Potongan bil elektrik 10% yang diumumkan baru-baru ini tidak mencukupi dan beliau berharap kerajaan dapat memberikan bantuan lebih banyak bagi industri perhotelan untuk terus bertahan.
Katanya, insentif cukai tambahan, seperti pengurangan cukai tanah dan cukai taksiran, lesen hotel, levi pekerja asing dan pemotongan sekurang-kurangnya 50% bil elektrik serta air selama enam hingga lapan bulan akan membantu pemulihan.
Raj berkata, pakej rangsangan khusus untuk industri perhotelan sangat diperlukan.
“Elemen utama lain bagi menjana pendapatan segera adalah mendorong penjawat awam dan tetamu korporat lain tinggal di hotel dan menganjurkan acara dengan SOP ketat.”
Selain itu, strategi pemasaran “agresif” diperlukan ketika pasaran pelancongan serantau dibuka semula sebaik saja pandemik reda, terutama untuk negara di Asia Tenggara.
“Kami berdepan halangan terbesar dalam industri perhotelan, termasuk peningkatan kehilangan pekerjaan, pemotongan gaji, pemberhentian kerja serta gulung tikar atau penutupan sementara hotel. Banyak lagi hotel lain yang sedang bergelut untuk terus bertahan,” katanya.
Hotel lima bintang, The Equatorial Hotel turut mengumumkan penutupannya menjelang akhir Mac ini. |