Kampung Emperoh Jambu dekat Bahagian Kuching, Sarawak dikenakan PKPD mulai esok. FOTO NSTP
Berita Harian
Faris Fuad
[email protected]
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, Bahagian Kuching, Sarawak selama 14 hari mulai esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia susulan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga kini melaporkan sebanyak 60 kes positif COVID-19 di lokaliti itu.
"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu dan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.
"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kampung itu bermula 23 Februari hingga 8 Mac ini.
"Pelaksanaan PKPD untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas 1,215 penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas Kampung Tanah Merah, Ismail Sabri berkata, KKM melaporkan terdapat peningkatan kes secara mendadak membabitkan lokaliti itu apabila 57 orang didapati positif COVID-19 hasil 226 ujian saringan.
"PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas 545 penduduk tinggal di lokaliti itu.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Tanah Merah dan Kampung Emperoh Jambu bermula 23 Februari hingga 8 Mac ini," katanya. |