Pendakwah dan penceramah bebas, Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir golongan lelaki yang gemar menghantar komen-komen berbaur lucah di akaun media sosial milik penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan.
Menurut PU Rahmat, kelakukan mereka ini boleh disifatkan amat keterlaluan terutamanya buat mereka yang telah pun berumah tangga.
Katanya lagi, sebagai seorang lelaki, kita hendaklah sentiasa menjaga pandangan kerana satu hari nanti kita juga akan berkeluarga dan berkemungkinan besar turut akan dikurniakan anak perempuan.
“Sudah melampau kiranya saya lihat komentar lelaki muslim di Page Saudari Elizabeth Tan. Lebih parah ada kalangan memberi komentar lucah daripada kalangan suami orang berpangkat seorang ayah.
“1) Wahai suami, labuhkanlah pandangan mata daripada memandang aurat selain daripada isteri anda yang halal. 2) Sukakah kita anak perempuan kita kelak diberi komentar lucah?" tegurnya.
Teguran tersebut disuarakan oleh PU Rahmat menerusi sebuah entri yang dimuat naik di laman Instagram.
Sementara itu, PU Rahmat turut menyarankan agar Elizabeth dapat mengurangkan posting-posting yang boleh mengundang komen-komen negatif meskipun dia mengetahui bukanlah haknya untuk menegur mengenai perihal tersebut.
“Wanita itu terlalu mahal harganya dan tinggi martabat. Wanita bukanlah objek nafsu tetapi wanita adalah lambang kekuatan dan keindahan yang beradab susila. SELAMAT HARI WANITA,” katanya lagi.
Kredit foto: IG PU Rahmat/Elizabeth
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan rasa yang sama selain turut berharap agar teguran PU Rahmat ini dapat membuka hati individu-individu yang terlibat.
Sumber: Media Hiburan |