|
Pelakon dan pengacara, Ain Edruce yang kini hamil lapan bulan mengakui masih belum mengetahui jantina anak yang bakal dilahirkan itu.
Ain, 30, atau nama sebenarnya Nurulain Edruce berkata, setiap kali membuat pemeriksaan dan imbasan, bayi dalam kandungan 'menyorok'.
Foto: IG
"Setiap kali buat pemeriksaan kesihatan, bayi saya sangat 'pemalu'. Susah betul saya nak tengok muka. Buat pemeriksaan 3D pun, memang tak boleh tengok, dia asyik menyorok saja. Doktor selalu cakap anak saya pemalu, tapi doktor mungkin lupa saya tak pemalu. Mungkin ikut bapa dia.
"Memang susah sangat nak tengok. Itu yang saya tak sabar nak bersalin dan tengok wajah bayi. Jantina pun tak tahu, bukan tak nak beritahu, tapi memang tak nampak. Seronok juga tak tunjuk jantina, sebab orang sekeliling saling berteka-teki lelaki atau perempuan. Macam-macam orang buat spekulasi lebih-lebih lagi kalau tengok perut saya," katanya kepada Harian Metro.
Ain yang menjadi tetamu jemputan pada rakaman program Melodi Raya 2021 bersama suami, Amirul Hafiz Mustaffa berkata, dia dijangka bersalin pada 22 Mei ini.
Dalam masa sama, Ain yang pernah berlakon dalam drama Camelia berharap dapat melahirkan anak secara normal.
"Sekarang usia kandungan sudah lapan bulan dan saya sangat gementar, Insya-Allah bulan depan bersalin. Doktor kata dalam 22 Mei, tapi saya menjangkakan lebih awal dari itu. Perasaannya sangat takut. Saya jumpa ramai kawan yang baru bersalin dan tanya perasaan dan pendapat mereka secara pembedahan atau normal.
"Ini kerana ramai cakap akan sakit, tapi saya tidak tahu apa perasaan sebab tidak pernah ada pengalaman bersalin. Walaupun takut, tapi teruja juga sebab nak tengok bayi macam mana. Tak sabar nak tengok muka macam mana.
"Kalau boleh nak cuba bersalin normal. Sebab lepas saya bersalin nanti dan tamat tempoh berpantang, saya terus masuk penggambaran JKK musim terbaharu. Kalau dapat bersalin normal senanglah saya nak jaga. Orang kata normal lebih senang sembuh jika dibandingkan dengan pembedahan," katanya.
Ain dan suami berkahwin pada 13 Disember 2019 dan mengumumkan kehamilannya pada 29 November tahun lalu. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|