Syarikat farmaseutikal gergasi British, AstraZeneca hari ini memaklumkan, ujian klinikal dijalankannya mendapati ubat diabetes keluarannya, Farxiga, gagal merawat pesakit COVID-19 yang berdepan risiko komplikasi teruk.
AstraZeneca yang vaksin keluarannya mencetus kebimbangan kesihatan, berkata ujian klinikal itu yang meneliti potensi Farxiga merawat pesakit COVID-19 yang berisiko menghidap komplikasi serius, tidak mencapai keputusan yang memberangsangkan.
Kredit foto: Pharmaceutical Technology
Ujian itu dijalankan bersama Institut Jantung Amerika Tengah Saint Luke dan melihat beberapa komplikasi termasuk diabetes dan kegagalan jantung, lapor AFP.
"Walaupun ujian itu tidak mencapai keputusan memberangsangkan, hasilnya amat menarik dan bernilai, ia berguna untuk sains klinikal masa depan," kata pakar kardiologi Saint Luke, Mikhail Kosiborod dalam satu kenyataan bersama.
Sementara itu, keyakinan awam terhadap vaksin COVID-19 AstraZeneca teruk terkesan selepas beberapa laporan mengaitkan insiden darah beku yang jarang berlaku namun berisiko membawa maut, selain saranan penggunaan yang bercanggah.
Sumber: Berita Harian |