|
Bukan rahsia lagi bahawa penyanyi terkenal Indonesia, Marcell Siahaan sebelum ini pernah beberapa kali berpindah kepercayaan, khususnya agama.
Terbaharu, penyanyi yang sinonim dengan imej berkepala botak itu mengakui telah mencapai titik akhir pencarian rohaninya selepas memutuskan untuk memeluk agama Islam, sekali gus menjadi mualaf.
Alasan penyanyi berusia 44 tahun itu ternyata sederhana. Marcell mendakwa, dia menemui ketenangan dalam agama baharu yang dianutinya iaitu Islam.
Kredit foto: Kosmo
“Saya berasa tenang, nyaman dan senang,” ujarnya sewaktu ditemu bual oleh pengacara, Daniel Mananta dalam rancangan Daniel Tetangga Kamu baru-baru ini.
Tidak hanya terhenti begitu, pelantun lagu Semusim itu tidak menyangka, pada usia 44 tahun, dia akan sekali lagi menemukan keyakinan terhadap apa yang dicari selama ini selepas dua kali bertukar agama.
Dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang memiliki keberagaman agama dan berfikiran terbuka, Marcell, telah didedahkan dengan pelbagai kepercayaan sejak kecil.
Amalan berpuasa, menyambut Hari Raya Aidilfitri, Hari Krismas dan pelbagai sambutan dan ritual agama pernah dilakukannya sejak kecil sehingga remaja.
Bahkan, Marcell juga mengaku pernah berfikiran agnostik, iaitu tahu bahawa Tuhan itu wujud tetapi tidak mempercayai ajaran agama.
Sehingga akhirnya Marcell mula yakin dengan beberapa agama bermula dengan Katolik dan kemudiannya Buddha.
“Sewaktu kecil, saya seorang agnostik. Dahulu, saluran televisyen TVRI ada menyiarkan beberapa program berunsur keagamaan, termasuk Islamik, Katolik, Buddha dan Hindu.
“Saya suka menonton rancangan sebegitu lebih-lebih lagi program tentang agama Islam. Saya masih ingat ketika saya menonton program tilawah al-Quran, alunan ayat suci kedengaran begitu indah sekali,” ujarnya.
Marcell ingin tahu segala hal termasuk soal agama. Sehinggakan dia tidak pernah jemu untuk mencari kebenaran tentang agama.
“Saya tidak mahu menjadi seorang yang penakut tentang sesuatu perkara yang saya tidak tahu,” ujar Marcell yang akhirnya memutuskan untuk memeluk agama Islam pada awal April lalu.
Agama Islam sebenarnya bukanlah suatu hal baharu dalam kehidupannya secara personal. Hal ini kerana, datuk kepada penyanyi itu juga sebenarnya beragama Islam.
Bahkan, isterinya, Rima Melati Adams juga seorang Muslim. Usai mengucapkan dua kalimah syahadah, Marcell memutuskan itulah titik akhir dalam perjalanan spiritualnya.
Peranan keluarga terutama isterinya, Rima juga memberi pengaruh besar dalam perjalanan Marcell untuk mengenal dengan lebih dekat lagi tentang Islam.
Bahkan, Marcell dan Isterinya juga selalu mempelajari dan memperhatikan bagaimana umat Islam beribadah dan mengikut contoh keluarga Rima yang berada di Malaysia dan Singapura.
Semenjak pandemik Covid-19 menular ke seluruh dunia, Marcell mengakui dia lebih banyak bermuhasabah dengan ikhlas dan berserah kepada Tuhan.
Bergelar mualaf juga membuatkan dirinya lebih menjadi manusia yang lebih mencintai diri sendiri dan lebih ikhlas dalam melihat pelbagai perkara.
Bahkan pandangannya tentang Tuhan juga kini sudah berbeza.
“Dia (Allah SWT) ialah Yang Maha Esa dan Maha Penyayang,” kata Marcell.-CARI
Sumber: Kosmo |
|