Tular video wanita memukul dan menarik rambut kanak-kanak perempuan dipercayai cucunya sehingga mendapat perhatian polis.
Lapor Kompas.com, video yang dirakam seorang wanita yang ketika itu duduk di dalam keretanya menunjukkan nenek yang dikenali sebagai Suryani, 46, memukul cucunya yang berusia lapan tahun kerana tidak mendapat duit yang banyak ketika mengemis.
SURYANI (baju merah jambu) ditahan polis selepas videonya memukul cucunya di khalayak ramai tular dalam media sosial.
Jurucakap polis, Tri Wahyudi memaklumkan, Suryani memaksa cucunya mengemis setiap hari dan menetapkan duit yang perlu kanak-kanak itu peroleh iaitu sekurang-kurangnya 30,000 rupiah sehari (RM8.50).
Katanya, wanita itu juga tidak berasa malu memukul cucunya di khalayak ramai sehingga menjadi perhatian.
Mengaku kepada polis, Suryani memberitahu dia mengajak cucunya mengemis kerana kanak-kanak itu masih bersekolah dari rumah susulan pandemik Covid-19.
“Saya mengaku ajak cucu mengemis bagi menampung perbelanjaan harian kami. Saya menyesal dengan apa yang berlaku, saya minta maaf,” katanya.
Sementara itu, wanita tersebut bakal berdepan hukuman penjara 10 tahun jika disabit kesalahan, selain cucunya dilaporkan trauma dengan insiden yang berlaku.
Sumber: Utusan |