|
Seorang lelaki bertuah apabila berjaya membeli nama domain Google Argentina ketika laman sesawang itu mengalami masalah teknikal selama dua jam, Rabu lalu.
Pereka laman web, Nicolas Kurona berkata, dia berjaya membeli google.com.ar melalui proses undang-undang yang sah dengan nilai hanya kira-kira 2 Pound Sterling (kira-kira RM11).
"Saya tidak pernah bayangkan masalah teknikal membuatkan saya dapat membelinya.
"Ingin saya tegaskan, saya tidak berniat jahat cuma membelinya dengan kelulusan Pusat Rangkaian Maklumat Argentina (NIC)," katanya kepada BBC News.
Mengimbau kejadian itu, Nicolas berkata, malam Rabu lalu dia sedang sibuk membuat rekaan laman sesawang untuk pelanggannya.
"Saya dapat mesej daripada WhatsApp memaklumkan Google ada masalah.
"Saya memasukkan www.google.com.ar dan ia tidak berfungsi. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena," katanya.
Menurutnya, dia menghubungi organisasi yang bertanggungjawab untuk operasi kod domain negara, NIC sebelum membuat carian Google.
"Tidak semena-mena terkeluar domain Google Argentina tersedia untuk pembelian.
"Saya mengikuti langkah diarahkan dan menerima resit pembelian bernilai 2 Pound Sterling menerusi emel.
"Selepas pembelian itu, saya terkejut dan cemas apabila menekan www.google.com.ar, semua data peribadi saya (sebagai pemilik) tertera," katanya yang menjelaskan perkara itu di Twitter.
Sejak itu nama Nicolas menjadi sebutan dan tajuk bahan utama berita.
Sementara itu, Google Argentina mengesahkan, domain itu hanya diperoleh orang lain dalam masa singkat, namun pihaknya berjaya mengawal keadaan dan menguasai semula domain itu dengan pantas.
Sumber: Harian Metro |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|