London: Andy Murray membuat keputusan mengejut apabila menarik diri daripada Terbuka Perancis bagi membolehkan dia cergas sepenuhnya menghadapi Wimbledon.
Bekas pemain nombor satu dunia itu yang pulih daripada kecederaan pangkal paha kembali berlatih dan menyertai dua acara beregu di atas gelanggang tanah liat di Rome minggu ini.
Dia sepatutnya beraksi dalam acara perseorangan minggu depan tetapi masih berasakan tidak selesa dan pulang untuk rawatan pemulihan.
Murray akan memulakan latihan di atas gelanggang berumput dengan sasaran kecergasan penuh untuk menghadapi Wimbledon.
Dia merancang mendapatkan tiket ke salah satu kejohanan ATP di Geneva atau Lyon minggu depan.
Bintang Scotland itu hanya sekali beraksi di atas tanah liat sejak 2017 tetapi mungkin diberikan tiket wild card jika dia dapat membuktikan kecergasannya.
Ia satu lagi detik mengecewakan buat Murray yang berusia 34 tahun pada Sabtu ini selepas hanya tiga kali beraksi acara perseorangan di jelajah tahun ini.
Dia terlepas Terbuka Australia selepas didapati positif Covid-19 pada Januari lalu. Dia kemudiannya mengalami kecederaan pangkal paha menjelang Terbuka Miami pada Mac.